Sany Hamzan harap pusat beri lebih peruntukan kepada Selangor

Sany Hamzan harap pusat beri lebih peruntukan kepada Selangor

 

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berharap kerajaan Pusat dapat memberi lebih peruntukan kepada Selangor khususnya di Hulu Langat yang sedang pesat membangun.

Mohd Sany berkata, permintaan itu wajar di pertimbangkan susulan Selangor menyumbang 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurutnya, peruntukan tersebut dapat digunakan bagi tujuan naik taraf jalan khususnya di daerah berhampiran Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya serta KLIA.

“Setiap kali sidang Parlimen saya bangkitkan isu besar di Hulu Langat contohnya persimpangan Pekan Batu 14, simpang Batu 9 dan isu jalan di Semenyih khususnya di Pekan Semenyih yang menjadi laluan utama ke Baranang dan Bangi Lama.

“Saya minta kerajaan lihat jalan-jalan ini dan kalau boleh dinaik taraf. Ini kerana Hulu Langat sedang pesat membangun, banyak projek perumahan yang didirikan di Parlimen ini.

“Harap Menteri Ekonomi dan Menteri Kewangan dapat dengar permintaan ini dan lebihkan peruntukan kepada Hulu Langat,” katanya pada program turun padang Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau projek naik taraf jalan FT3210 dari persimpangan Jalan Dato Alias ke Persimpangan Batu 9, Cheras.

Projek sepanjang dua kilometer membabitkan peruntukan RM123.6 juta itu dijangka siap 2026 dan bakal memberi manfaat kepada 52,000 pengguna harian.

Projek berkenaan telah diluluskan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) yang sepatutnya siap tahun depan, namun dilanjutkan ke 2026 susulan masalah pengambilan tanah dan pengalihan utiliti.

Dalam pada itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, sehingga Mei 2024, kementerian itu telah meluluskan Anggaran Penyenggaraan Jalan (APJ) Tahun 2024 kepada JKR Hulu Langat sebanyak RM18.36 juta untuk penyelenggaraan jalan persekutuan.

Kerja-kerja penyelenggaraan tersebut melibatkan tujuh kerja berkala pavemen sebanyak RM13.71 juta dan enam kerja berkala bukan pavemen berjumlah RM1.47 juta.

Peruntukan turut membabitkan sepuluh kerja penyelenggaraan jambatan berjumlah RM1.18 juta dan enam kerja penyenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat sebanyak RM2 juta yang semua kerja dijangka siap September depan.