“Saya belum dalam keadaan untuk buat keputusan” – Khairy mula berdolak dalih keputusannya untuk sertai parti Bersatu

“Saya belum dalam keadaan untuk buat keputusan” – Khairy mula berdolak dalih keputusannya untuk sertai parti Bersatu

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar masih memerlukan masa untuk membuat keputusan mengenai tawaran sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, bukan mudah untuk membuat keputusan itu kerana bukan niatnya mahu menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Bila kita ada peluang kedua untuk memilih parti politik, saya tidak ambil ringan keputusan ini, bukan kerana PRN akan berlangsung bila-bila.

“Saya nak pilih dengan rela hati bukan nak jadi calon, sebab parti itu mewakili nilai dan pendirian politik saya.

“Jadi saya perlukan masa, bukan saya kata ‘no’ kepada tawaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada podcast kali ini tetapi saya nak menjelaskan kepada orang ramai dan juga pendengar yang peduli tentang ini,” katanya pada siri Podcast Keluar Sekejap yang dihoskan Shahril Hamdan pada Isnin.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, setiap hari akan ada pandangan dan nasihat berbeza.

“Walaupun saya ini bekas ahli politik, politik ini sebahagian daripada DNA kami.

“Saya rasa kalau saya nak bagi jawapan pun, saya akan bagai jawapan ‘face to face’ dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebab saya rasa itu cara yang paling tertib. Kita sebagai orang politik mesti tertib, mesti jumpa orang yang beri tawaran dan bagi jawapan secara ‘face to face’ secara ‘gentleman’.

“Saya belum lagi dalam keadaan untuk membuat keputusan, ramai yang cakap bagi pihak saya. Penganalisa politik cakap, orang lain cakap begini dan sebagainya. Lokman Noor Adam bagi nasihat kepada saya, terima kasih lah kerana bagi nasihat. Saya akan memikirkan tentang nasihat tersebut sambil saya minum jus lobak,” selorohnya.

Tegas Khairy lagi, apa yang penting tidak ramai ahli politik yang mempunyai peluang kedua untuk memilih parti tanpa melompat.

“Ramai yang melompat tapi saya tak lompat, saya dipecat,” katanya.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu berkata, keputusan mengenai tawaran kepada bekas Menteri Kesihatan itu sudah dibincangkan bersama pimpinan tertinggi Bersatu baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, jika Khairy menyertai Bersatu, beliau boleh membantu membina kekuatan parti memandangkan beliau adalah tokoh politik muda yang berkaliber.