“Saya nasihatkan Pemuda PN supaya nilai dan kritik kerajaan berpandukan fakta, bentangkan apa idea kamu, bukan sembang kosong” – Azhar tempelak PN

“Saya nasihatkan Pemuda PN supaya nilai dan kritik kerajaan berpandukan fakta, bentangkan apa idea kamu, bukan sembang kosong” – Azhar tempelak PN

 

Prestasi baik kerajaan persekutuan di bawah petadbiran Anwar Ibrahim tidak dapat dinilai dengan waras oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN), kata pemimpin Amanah Perak.

Ketua Komunikasi Amanah negeri Azhar Rahman berkata kenyataan sinis Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hanyalah “kitar semula cerita lama” selain tiada modal politik yang lebih membina.

“Walhal kronologi dan proses pembentukan kerajaan telah dijelaskan berulang kali malah PN juga dijemput untuk menganggotai kerajaan tetapi memilih untuk tidak bersetuju titah nasihat Yang Di-Pertuan Agong ketika itu.

“Dia perlu sedar bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan inilah yang membawa kestabilan politik dalam negara dan berjaya meyakinkan pelabur luar untuk datang melabur. Sebanyak 132.6 billion ringgit pelaburan berjaya dibawa masuk sehingga Jun 2023.

“Kerajaan ini jugalah yang memberi jaminan untuk menghapuskan hutang peneroka Felda, dan Malaysia juga diiktiraf sebagai negara terbaik di Asia Tenggara dalam Indeks Peralihan Tenaga (Energy Transition Index) oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kenyataan itu sebagai membalas kritikan Wan Ahmad Fayshal yang mendakwa kerajaan yang dibentuk PH dan BN sebagai “kerjasama munafik”.

Terdahulu Wan Ahmad Fayhsal juga secara sinis berkata kerjasama itu merupakan perancangan “cikgu dan anak murid” sekian lama.

“…Yang pertama, kerjasama hari ini adalah kerjasama munafik, hipokrit antara BN dan PH.

“Puncanya satu saja kerana hubungan baik cikgu dan anak murid, (Pengerusi PH) Anwar Ibrahim dan (Pengerusi BN) Ahmad Zahid Hamidi,” katanya ketika ceramah di Pentas Anak Muda di Simpang Pelangai, malam tadi.

Sementara itu Azhar berkata kerja keras perdana menteri dan kabinet jelas membawa imej yang sangat baik di mata dunia.

“Tetapi tak dapat dinilai dengan waras oleh PN yang hanya tahu menyalahkan perdana menteri dalam semua hal.

“Saya nasihatkan Pemuda PN supaya nilai dan kritik kerajaan dengan berpandukan fakta dan bentangkan apa idea kamu. Bukan sembang kosong,” jelasnya.

Justeru tambahnya, pengundi di pilihan raya kecil (PRK) Pelangai diminta supaya menilai kualiti pemimpin dengan melihat rekod kerja dan idea yang dikemukakan.

“Jangan terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan untuk menakut-nakutkan pengundi khususnya orang Melayu

“Jentera PH-BN akan pastikan PN tumbang di Pelangai sebagai isyarat jelas sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang komited menjaga kebajikan dan kemajuan rakyat. Bukan cakap kosong yang diulang-ulang seperti dilakukan Pemuda PN,” kata Azhar lagi.