Saya tegur kerana sayang dengan bakat mereka, mahu Sissy & Naim lebih berjaya – Mas Idayu
Nama penyanyi Sissy Imann menjadi bualan ramai selepas menangis gara-gara ditegur persembahan lagu Jampi oleh juri tetap program realiti, Famili Duo, Mas Idayu.
Marah bersebab
Susulan kecaman daripada netizen yang menganggap tindakan itu keterlaluan, Mas Idayu tampil memberi penjelasan kepada BH Online.
Kata penyanyi dangdut berumur 51 tahun itu, teguran yang dilakukan pada malam Ahad itu bertujuan mahu menggilap lagi bakat Sissy dan pasangan sepupunya, Naim Daniel.
Sejujurnya, sebelum program bermula lagi, saya sudah pukul canang mengatakan Naim dan Sissy adalah peserta berpotensi. Ini kerana Sissy cerdik dalam ilmu muzik, manakala Naim mempunyai kepakaran dari segi persembahan.
Justeru, saya teruja apabila mendapat tahu Sissy dan Naim akan tampil dengan lagu Jampi yang susunan muzik diubah kepada genre keroncong.
Namun, hasilnya mengecewakan kerana nyanyian mereka sumbang berbanding muzik yang besar.
Tiada emak, cikgu atau sesiapa yang akan marah tanpa sebab. Saya tegur kerana saya sayang bakat mereka. Saya mahu mereka lebih berjaya apabila keluar daripada program ini nanti.
Pemilik nama Masidayu Mesnun menafikan dakwaan yang mengatakan dia melakukan serangan peribadi kepada Sissy.
Bukan semata untuk sensasi
Dalam pada itu, pelantun lagu Cintaku 100% enggan mengambil peduli dengan mulut rakan selebriti serta orang ramai yang tidak berpuas hati dengan cara kerjanya yang menjadi diri sendiri.
Orang luar nak cakap apapun, terpulanglah. Sebagai juri, saya hanya mahu anak-anak saya menang dan keluar menjadi penyanyi lebih bagus.
Lagipun, ini memang karakter saya sebagai juri. Saya tidak boleh menjadi seperti orang lain. Benda ini pun berlaku secara spontan dan bukannya dibuat-buat.
Saya ada juga mendengar orang luar menganggap ini kandungan semata-mata untuk sensasi. Itu juga tidak benar.
Sebelum ini, Sissy menangis di atas pentas ketika siaran langsung dan kemudian memuat naik status memohon maaf kerana gagal memberikan persembahan terbaik.
Selain itu, pengacara berumur 28 tahun itu turut membatalkan pelancaran album sulung yang sepatutnya berlangsung pada 2 Februari 2023.