Sayu!!! 56 keluarga beraya sehelai sepinggang, rumah musah dalam kebakaran
Sebanyak 56 keluarga di Kampung Titingan di sini, terpaksa menyambut Aidiladha esok dalam keadaan sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah terbakar, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Sukkur Hatta, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.33 pagi dan tiba lima minit kemudian.
Katanya, seramai 50 anggota dengan kekuatan sembilan jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kita mulakan operasi pemadaman pada pukul 9.40 pagi dan alhamdulillah pada pukul 10.55 pagi kita telah berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak. Api dapat dipadam sepenuhnya jam 2.20 petang,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Sukkur, kawasan itu merupakan penempatan setinggan dan memberi cabaran kepada anggotanya untuk memadam kebakaran.
“Cabaran utama ialah keadaan rumah yang rapat… alhamdulillah kita dapat punca air daripada pili bomba dan juga air parit yang ada di kawasan ini untuk memadam kebakaran,” katanya.
Sementara itu, sebahagian mangsa kebakaran berkata panik berhadapan keadaan itu dan tidak sempat menyelamatkan barangan penting.
Rosjatimah Saprin, 46, tidak sempat melakukan apa-apa apabila menyedari api sudah membakar depan pintu rumahnya.
“Saya buka pintu api sudah marak, tak ada dengar orang teriak atau menjerit… kami segera angkat bapa yang sakit dan terus menyelamatkan diri,” katanya.
Remie Saprin, 64 , yang baru pulang dari bandar ketika kejadian, berkata tiada apa yang sempat diselamatkan kerana terlalu bahaya untuk masuk ke rumahnya.
Sumber – AstroAwani