Sayu!!! Ketua kelas sempat utus mesej minta maaf sebelum maut kemalangan

Sayu!!! Ketua kelas sempat utus mesej minta maaf sebelum maut kemalangan

“Beberapa hari sebelum nahas, Jamal Farhan kerap kirim mesej menerusi aplikasi WhatsApp minta halal makan minum kepada rakan sekelas,” kata Siti Nur Farhana Zulkeflee, 17.

Siti Nur Farhana ialah rakan sekelas Jamal Farhan Jaafar, 17, yang meninggal dunia pada kemalangan di Kilometer 67, Jalan Muar-Segamat, berhampiran persimpangan lampu isyarat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat di sini, jam 5.50 petang kelmarin.

Jamal Farhan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kenangan, Batu Anam meninggal dunia di lokasi selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda.

Siti Nur Farhana berkata, mesej berkaitan kemalangan itu tular di media sosial rakan sekolah jam 6.15 petang, hari yang sama.

“Ketika Jamal Farhan mengirim mesej meminta maaf, dia turut mengatakan ia bukan kerana dia hendak mati.

“Kami tidak sangka ia petanda dia akan pergi selamanya,” katanya.

Menurut Siti Nur Farhana, Jamal Farhan adalah ketua kelas kepada 23 pelajar dan kerap menceriakan rakan.

“Jamal Farhan kerap berpesan supaya rakan mematuhi peraturan jalan raya, belajar dengan rajin selain hormat pada guru dan ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, Jamal Farhan yang tinggal di Kampung Paya Lebar di sini, baru meraikan ulang tahun kelahirannya pada 28 Februari lalu secara dalam talian.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Luas di Batu Anam, semalam.

 

JAMAL Farhan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda.
JAMAL Farhan maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan pacuan empat roda.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat mengesahkan berkaitan kemalangan.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

“Pemandu pacuan empat roda yang juga lelaki berusia 36 tahun selamat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – HM