“Sebelum kahwin janji nak buat aku senang tapi dia tipu aku hidup2, setiap kali dia balik aku goreng dan hidangkan bangkai ikan yang busuk, aku nak dia sedar janji dia dengan aku dulu”
GARA-GARA tidak tahan dengan sikap pasangan yang suka menekan dan memberi tekanan, seorang suami nekad menceraikan isterinya.
Hal itu diceritakan semula rakan si suami dikenali sebagai Acak East yang melihat penceraian itu berlaku di hadapan matanya.
Menerusi perkongsian di TikTok, Acak mendakwa kawannya itu diminta untuk bekerja lebih keras tanpa rehat disebabkan gaji yang diperoleh tidak cukup untuk menampung keperluan isteri dan dua orang anak mereka.
“Balik kerja isteri dia hidangkan makan, tapi nasi putih dengan ikan goreng je dan itulah makanannya setiap hari.
“Saya sedih apabila dia lepak dengan saya, dia kata inilah makanan paling sedap pernah dia makan dan dah lama tak rasa makan macam ni.
“Sambil dia bercerita, sambil air mata keluar sampai dia kata dia rindukan zaman bujang. Masa muda dia kata perempuan (isteri) tu nakkan dia sangat dan janji nak hidup susah senang bersama,” ujar Acak.
Setelah perpisahan antara pasangan ini berlaku, si suami memilih untuk tinggal bersama abangnya dan terpaksa berpisah dengan dua orang anak.
Ujar Acak, kawannya terpaksa membayar segala komitmen bulanan termasuklah kereta digunakan isteri sebanyak RM800 berbekalkan gaji RM1,800.
“Saya terkejut apabila dia cakap isteri teranjang dia sebab tak bawa balik duit. Kawan saya ni hanya bersabar.
“Sehinggakan dia terpaksa buat pelbagai kerja part time, itupun masih tak cukup dan akhirnya dia lepaskan bini dia. Dia baru beritahu yang dia ada penyakit.
“Dia tak dapat hidup lama dan beritahu nak mati dengan aman tanpa derita yang dialami selama lima tahun berkahwin,” ujarnya.
Imbas Acak, kawannya yang ketika itu bekerja sebagai rider penghantar makanan pernah mengajaknya berjumpa bagi meluahkan rasa rindunya terhadap anak-anaknya yang kini berjauhan terpisah.
Beberapa hari selepas pertemuan mereka, Acak menjumpai sepucuk surat bersama duit belanja untuk diberikan kepada anak-anak diselit dalam begnya.
Tambah Acak, sewaktu dia berkongsi tentang penderitaan kawannya itu, lelaki berkenaan sudahpun pergi buat selama-lamanya kerana penyakit yang dihidapinya.
Bagi menyempurnakan amanah untuk memberikan wang yang ditinggalkan, Acak segera menghubungi bekas isteri kawannya itu.
Namun Acak terkejut dengan pengakuan yang dibuat wanita berkenaan terhadap arwah sahabatnya semasa mereka masih menjadi suami isteri.
Acak turut memuat naik tangkap layar daripada aplikasi WhastApp mengenai perbualannya dengan wanita berkenaan.
“Setiap kali dia balik aku akan hidangkan bangkai ikan yang busuk, aku goreng balik bagi dia makan sebab aku nak dia sedar dengan janji dia dengan aku dulu.
“Bila dia tidur, aku akan paksa dia tidur di luar balkoni. Aku kunci pintu dan dia tak pernah melawan aku.
“Tapi dia masih tak sedar. Kadang-kadang dia mandi, aku sengaja letakkan air kumbahan sikit dalam baldi… dia tak pernah sedar dan tidak melawan aku.
“Benda ni aku buat kerap sampai dia sedar,” kata wanita berkenaan dalam perbualan WhatsApp dikongsikan Acak.
Tegas Acak, perkongsiannya adalah untuk dijadikan kenangan dan bukti kebaikan dilakukan sahabatnya yang kini sudah tiada lagi.