Sedih sungguh, murid ini ponteng sekolah sebab tak mampu bawa hadiah untuk guru

Sedih sungguh, murid ini ponteng sekolah sebab tak mampu bawa hadiah untuk guru

 

Tanggal 16 Mei satu hari yang cukup mengembirakan buat guru kerana akan menerima bermacam-macam hadiah daripada anak murid mereka, bagaimanapun dalam keceriaan itu ada kisah sedih murid terpaksa ponteng sekolah kerana tidak mampu membawa hadiah untuk gurunya.

Pelajar ini menyembunyikan diri di sebuah masjid kerana malu untuk ke sekolah tanpa membawa hadiah untuk diberikan kepada guru sempena Hari Guru.

Pelajar yang sudah kehilangan ibu ini menjelaskan ayahnya tidak mempunyai duit untuk membelikan hadiah kerana waktu itu tengah bulan dan belum gaji.

Kisah sedih seorang murid ponteng sekolah kerana tidak mampu bawa hadiah untuk guru

Cikgu Abd Ghani Haron menceritakan bagaimana murid ini menceritakan perkara sebenar kepadanya.

Pagi semalam seorang imam masjid yang saya kenali menelefon saya. Katanya ada seorang budak sekolah di masjid, macam ponteng sekolah. Semalam hari guru 16 Mei, pelajar dan guru tidak berada dalam kelas tetapi di dewan dan padang dg aktiviti sambutan.

Saya bergegas sendiri ke masjid yg disebut. Parking kereta agak jauh di penjuru masjid, saya mula meninjau ke masjid. Tidak ada di balai lintang, saya menjengah ke dewan solat. Tidak ada juga tetapi ketika beralih ke bahagian muslimat, saya ternampak satu susuk tubuh.

Saya segera ke bahagian itu dan memang ada seorang pelajar perempuan. Dia begitu terkejut melihat saya. Bibirnya terketar mengucap salam pada saya, tangannya meraup sejadah lalu dipeluk ke tubuh, bagai seorang anak takutkan bapa yang garang.

Dia segera berdiri menghormati saya, tetapi saya suruh duduk, saya kenal pelajar ini kerana pernah naik menerima hadiah kecemerlangan di pentas. Bila ditanya sebab apa ponteng sekolah sedangkan dia pelajar baik, dia hanya berkata, “Tak ada apa cikgu. “Saya tak puas hati kerana ini bukan tabiatnya. Saya desak dia bercakap benar.

Matanya mula berair bila dia memulakan bicara lagi, saya tahu, dia akan berkata benar, “Cikgu, saya malu nak ke sekolah hari ini kerana saya tidak ada hadiah untuk diberi pada guru sempena hari guru. Ayah tak ada duit untuk beli hadiah kerana waktu ini tengah bulan, ayah saya kerja jaga. Emak telah meninggal.

Dia berhenti bercakap. Kepala terhanguk-hangguk menahan tangis. Dia menyambung,

“Cikgu, saya malu ditanya rakan apa hadiah yang dibawa pada cikgu, lebih malu bila ada bertanya, Nurul tak bawa hadiah ka? ”

Air matanya yang deras dikesat dengan kain tudung yang separuh lusuh. Saya pula yang turut sedih dan tidak terucap kata.

Saya menghantarnya balik ke rumah, dalam perjalanan fikiran berkecamuk. Rupanya kegembiraan hari guru dan sambutannya telah mencederakan hati seorang insan pelajar, bahkan saya yakin lebih ramai lagi pelajar yang miskin merasa gundah resah bila datang hari guru.