“Sehari sebelum meninggal dunia, kami berbincang secara serius, arwah cakap sekiranya sesuatu berlaku, dia minta saya hubungi nombor…” – Isteri vokalis berkumpulan popular ini berkongsi detik perbualan akhir suaminya sehari sebelum temui ajal

“Sehari sebelum meninggal dunia, kami berbincang secara serius, arwah cakap sekiranya sesuatu berlaku, dia minta saya hubungi nombor…” – Isteri vokalis berkumpulan popular ini berkongsi detik perbualan akhir suaminya sehari sebelum temui ajal

Seakan tahu umurnya tidak panjang, bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia atau Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, memberikan nombor telefon kariah masjid yang perlu dihubungi isterinya, Suzan Ahmad sekiranya sesuatu berlaku kepadanya.

Memetik perkongsian daripada portal Berita Harian, kejadian itu berlaku sehari sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.17 malam tadi di Hospital Shah Alam akibat kanser hati.

Bagaimanapun, bekas wartawan BH itu enggan mengambil serius kata-kata arwah dan menganggapnya sebagai gurauan. Ini kerana Suzan optimis arwah mempunyai peluang untuk sembuh.

“Sehari sebelum meninggal dunia, kami berbincang secara serius. Arwah cakap sekiranya sesuatu berlaku, dia minta saya hubungi nombor ahli kariah Masjid Kota Raja kerana mereka akan selesaikan semua urusan daripada kafan sehingga kebumi.

“Mungkin arwah tak nak susahkan saya dan mahu mempermudahkan urusan apabila dia pergi, tapi saya ambil sikap acuh-acuh kerana tak suka fikirkan benda bukan-bukan selagi belum terjadi,” kata Suzan kepada BH Online.

Suzan berkata, dia tidak terkilan dengan pemergian arwah walaupun hasrat mendermakan hati kepada arwah di Hospital Medanta New Delhi, India tidak kesampaian.

Namun, kata Suzan, dia tidak menyangka arwah yang baru sahaja didiagnos kanser hati pergi secepat ini.

“Pemergian arwah sangat mengejut, semalam. Keadaannya agak lemah.

“Saya ke Hospital Selayang untuk urusan rawatan susulan, semalam tapi arwah berkali-kali hubungi saya minta pulang dengan segera.

“Saya tinggalkan arwah tak lama, cuma dua jam. Apabila kembali ke wad, arwah nampak gembira, tetapi tidak lagi berbual macam biasa.

“Arwah cuma mahu saya mengenggam tangannya,” kata Suzan.

Menurut Suzan lagi, ‘mood’ suaminya turun naik sejak disahkan menghidap kanser hati, barangkali risau tidak dapat hidup lama kerana banyak hasratnya yang belum tertunai.

“Mood arwah turun naik, tapi saya selalu yakinkan dia boleh sembuh.

“Jadi, arwah tak sabar nak jalani rawatan di India, tapi apakan daya Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Suzan menyifatkan arwah adalah suami dan bapa yang sangat baik.

“Arwah pernah tanya kepada saya, anak-anak anggap dia bapa tiri atau bapa kandung. Tapi, akhirnya arwah tahu anak-anak memang sayang kepadanya.

“Bayangkan, arwah sanggup batalkan undangan persembahan kerana tiada orang menghantar anak ke kelas tambahan memandangkan saya sibuk di pejabat,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Tia selamat dikebumikan kira-kira jam 10.03 pagi tadi di Tanah Perkuburan Masjid Kota Raja, Klang.