‘Sehidup semati’, suami meninggal 10 minit selepas pemergian isteri

‘Sehidup semati’, suami meninggal 10 minit selepas pemergian isteri

 

Sepasang suami isteri dilaporkan meninggal dunia dalam hanya tempoh selang 10 minit sahaja di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) pada malam Khamis.

Berita berkenaan dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Muhammad Zain dalam satu hantaran di media sosial berkenaan hari ini.

Menurut Muhammad Zain, Salimi Maralim dan isterinya, Maria Abdullah menghembuskan nafas terakhir di hospital terbabit.

Katanya lagi, Allahyarhamah Maria meninggal dunia pada jam 7.05 malam manakala suaminya, Allahyarham Salimi ‘menyusul’ kira-kira jam 7.15 malam, hari yang sama.

Allahyarham Salimi dikatakan terjatuh sebaik sahaja mengetahui bahawa isterinya sudah tiada.

“Kepada ALLAH kita memohon semoga roh pasangan suami isteri itu ditempatkan dalam kalangan roh para syuhada dan solihin.

“Daripada ALLAH kita datang, kepada ALLAH kita kembali. Mati itu terlalu dekat dengan kita,” pesan Muhammad Zain dalam hantaran di Facebooknya.

Hantaran beliau tular di media sosial sehingga mendapat 1.5k tanda suka, 527 komen dan 1.4k perkongsian setakat jam 7.38 malam Jumaat, 4 Ogos.

Dalam pada itu, Sinar Harian turut melakukan tinjauan di sekitar majlis pengebumian kedua-dua jenazah di Putatan, Sabah.

Menurut portal berita tersebut, jenazah pasangan suami isteri itu diuruskan di Masjid Nurul Iman Kampung Pasir, dekat Putatan.

Dalam laporannya, orang ramai dipercayai ahli keluarga terdekat dan rakan taulan pasangan suami isteri kelihatan hadir di perkarangan masjid itu.

Kehadiran orang ramai semasa proses pengurusan jenazah bagi kedua-dua pasangan itu dianggap penghormatan terakhir kepada kedua-duanya.

Memetik Sinar Harian, kedua-dua jenazah telah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Contoh untuk dikebumikan.

Pengebumian dilakukan selepas kedua-dua jenazah dikafankan dan disolatkan bersama di masjid yang sama.

Azmi Hadith, salah seorang individu yang bertanggungjawab dalam pengurusan jenazah memaklumkan bahawa pengurusan kedua-dua jenazah berjalan dengan lancar dan sempurna.