Sejarah!!! Ini perkara yang terpaksa kita tempuh sekiranya hidup 75 tahun yang lampau

Sejarah!!! Ini perkara yang terpaksa kita tempuh sekiranya hidup 75 tahun yang lampau

Hari ini 75 tahun yang lalu, Malayan Union diperkenalkan sebagai sistem pentadbiran baharu di Tanah Melayu.

Sistem ini meletakkan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, dan Negeri-Negeri Selat kecuali Singapura bawah satu pentadbiran yang diketuai oleh seorang Gabenor, dan Edward Gent adalah yang pertama.

Bidang kuasa Raja-Raja Melayu telah diambil alih oleh Gabenor dan hanya dihadkan kepada hal ehwal agama Islam dan adat-istiadat Melayu di negeri masing-masing sahaja, dan segala aset negeri berada bawah kuasa Malayan Union.

Selain itu, hak serta taraf kerakyatan sama rata diberikan kepada semua orang yang lahir di Tanah Melayu dan Singapura termasuk bangsa pendatang yang menetap di sini sekurang-kurangnya 10 daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942, dipanggil ‘jus soli’.

Ia diperkenalkan oleh British sebagai ‘persediaan’ untuk Tanah Melayu menuju ‘kemerdekaan’ selepas Britain menandatangani Piagam Atlantik 1941, bagaimanapun ia dilihat sebagai cara halus British untuk memanjangkan penjajahannya.

Malah persetujuan daripada Raja-Raja Melayu juga diperoleh dengan cara paksaan, di mana Harold MacMichael mengugut untuk melucutkan takhta mereka atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun semasa Perang Dunia Kedua jika enggan menurunkan tandatangan.

Atas sebab itu dan isu kerakyatan terbuka serta beberapa lagi butiran dalam skim Malayan Union, orang Melayu bangkit menentang penjajahan bentuk baharu ini ketika angin perjuangan kemerdekaan bertiup kencang dari seberang.

Didorong pembentukan UMNO bawah pimpinan Dato Onn Jaafar, gerakan agresif orang Melayu berjaya mendesak Malayan Union sehingga dimansuhkan dan British menyusun semula sistem itu menjadi Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Sumber: Arkib Negara Malaysia

#PeristiwaHariIni

Astro Awani