Sekalipun punyai kabinet ‘Super Mega’, Mahiaddin tetap gagal laksanakan Undi 18

Sekalipun punyai kabinet ‘Super Mega’, Mahiaddin tetap gagal laksanakan Undi 18

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak patut menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai ‘kambing hitam’ untuk tidak melaksanakan undang-undang membenarkan rakyat yang berusia 18 tahun mengundi.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, kerajaan PN perlu bertanggungjawab dengan melaksanakannya apatah lagi sudah diluluskan di Dewan Rakyat dan mendapat perkenan diraja serta sudah diwartakan.

“Jadi dalam isu Undi 18 tahun ini, bolehkah kerajaan PN tolak bola ping pong ini kepada SPR? Kerajaan PN tidak boleh tolak kepada pihak yang lain. Ini tanggungjawab kerajaan semasa yang mewarisi keputusan parlimen dan perlu dilaksanakan.

“SPR hanya sebuah suruhanjaya. SPR bukan eksekutif dan bukan kerajaan. Pihak yang jadi kerajaan ialah PN yang kuasanya sekarang hampir ‘unlimited’ atau tak terbatas di bawah ordinan darurat,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau mengulas pengumuman SPR pada Khamis bahawa pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Hassan berkata, kerajaan PN kini mewarisi undang-undang terpenting kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah yang membenarkan rakyat berumur 18 tahun dan ke atas mengundi dalam pilihan raya umum (PRU).

Katanya, rang undang-undang pindaan perlembagaan Undi 18 tahun itu diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga di parlimen malah mendapat persetujuan sebulat suara daripada pihak kerajaan dan pembangkang.

“Jadi tidak ada dalih-dalih lagi kerajaan semasa yang memerintah untuk tangguh-tangguh. Kerajaan PN tidak ada pilihan. Undang-undang Undi 18 tahun mesti dilaksanakan.

“Sebagai perbandingan, hal ini samalah dengan kes projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura. Projek ini bermula pada zaman Barisan Nasional (BN) berkuasa di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apabila BN tumbang dan PH berkuasa, maka kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad terpaksa pikul tanggungjawab uruskan perjanjian projek HSR tersebut. Apabila kerajaan PH tumbang, maka kerajaan PN pula sambung pikul projek biawak hidup itu,” katanya.

Apabila kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin batalkan projek HSR, maka kerajaan PN terpaksa bayar pampasan sebanyak RM320 juta kepada kerajaan Singapura. – SH