Sekalipun tiada majoriti, Muhyiddin boleh terus jadi PM – Gopal Sri Ram
Seluruh kerajaan akan tumbang apabila Perdana Menteri berundur daripada jawatannya, seperti yang diputuskan oleh mahkamah, kata seorang bekas hakim.
Gopal Sri Ram berkata, keputusan itu pernah dibuat oleh Mahkamah Tinggi pada 1995 terhadap kes Amir Kahar Tun Datu Mustapha v Mohd Said Keruak (yang ketika itu adalah Gabenor Sabah).
Dalam kes itu, ketua menteri Sabah Joseph Pairin Kitingan meletakkan jawatan tetapi Amir Kahar yang juga timbalan ketua menteri, tidak melepaskan jawatannya walaupun ketua menteri baru sudah dilantik.
“Mahkamah memutuskan kabinet berundur bersama ketua menteri (ketua kerajaan),” katanya sambil menambah ia adalah prinsip perundangan ini ditegaskan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes di Perak pada 2010.
Sri Ram mengulas kenyataan Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa bahawa Muhyiddin Yassin akan didesak meletak jawatan ‘dalam sehari dua’ selepas Umno menarik sokongan terhadapnya sebagai perdana menteri.
Beliau kemudiannya berkata, Ismail Sabri Yaakob akan memangku jawatan perdana menteri dan mungkin sebagai perdana menteri interim manakala menteri kanan baharu Hishammuddin Hussein akan menjadi timbalannya.
Sri Ram berkata, menurut Artikel 43 (2) (a), Yang di-Pertuan Agong harus melantik perdana menteri baharu yang dalam pandangannya mungkin mendapat keyakinan majoriti di Dewan Rakyat.
“Di bawah peruntukan ini, sekiranya perdana menteri meminta pembubaran Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong menolak, maka perdana menteri harus berundur bersama anggota kabinet seperti dinyatakan dalam Artikel 43 (4),” katanya.
Sri Ram berkata, tidak ada peruntukan untuk pemangku perdana menteri memangku jawatan itu selepas pengunduran perdana menteri.
Tambah beliau, timbalan perdana menteri sebelum ini, Anwar Ibrahim dilantik sebagai pemangku perdana menteri pada 1997 ketika Dr Mahathir Mohamad mengambil cuti selama dua bulan.
Katanya, pada 1973 pula, menteri kanan V T Sambanthan memangku jawatan itu selama beberapa hari ketika timbalan perdana menteri dan pemangku perdana menteri Dr Ismail Abdul Rahman meninggal dunia.
Sri Ram berkata, ketika itu Perdana Menteri Abdul Razak Hussein berada di Ottawa, Kanada bagi menghadiri Sidang Kemuncak Komanwel.
“Seseorang orang boleh berada di kedudukan itu ketika perdana menteri berada di luar negara,” katanya.
Beliau berkata, tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan untuk perdana menteri interim.
“Biasanya kita hanya mempunyai perdana menteri atau kerajaan sementara bermula daripada pembubaran parlimen sehingga keputusan pilihanraya menunjukkan parti atau gabungan mana yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan seterusnya,” katanya.
Sumber – FMT