Sekat ADUN lompat parti, Pas teruskan tradisi baiah kepada calon pilihanraya

Pas mensyaratkan kesemua calon partinya yang terpilih bertanding dalam PRN Melaka perlu berbaiah demi mengelakkan kejadian lompat parti berlaku seperti yang dialami parti-parti lain sebelum ini.
Ianya dianggap tindakan paling berkesan dilaksanakan parti tersebut bagi mengekang pengkhianatan dilakukan calon-calonnya selepas menang pilihanraya nanti, tegas timbalan presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Semua calon PAS mesti berbaiah kepada parti, istiqamah tidak akan keluar parti, tidak akan tinggalkan parti jika menang.
“PAS konsisten tentang agenda lompat parti,” katanya ketika sidang media pada Muktamar Tahunan PAS ke-67 yang sedang berlangsung seperti dilaporkan portal akhbar FMT.
Pas sejak sekian lama sentiasa berdepan dengan isu kontroversi berhubung perlaksanaan baiah yang diamalkan calon-calon pilihanrayanya, malah pernah timbul isu baiah menceraikan isteri sekiranya melakukan khianat terhadap parti termasuklah melompat parti.
Dalam perkembangan lain, kabinet akhirnya bersetuju supaya Menteri Alam Sekitar itu mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26) yang sedang berlangsung di Glasgow selepas berdepan kritikan ramai.
Menurut kenyataan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) pada Jumaat, beliau akan menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi dan menyampaikan kenyataan negara di persidangan tersebut pada 9 hingga 10 November.