Sekian lama berdiam diri, Azalina tampil terangkan implikasi sikap ingkar Ismail Sabri & Hishamuddin

Sekian lama berdiam diri, Azalina tampil terangkan implikasi sikap ingkar Ismail Sabri & Hishamuddin

Parti komponen tidak boleh meninggalkan gabungan disertai mereka bagi menyokong gabungan lain berdasarkan Undang-Undang Anti Lompat Parti yang sudah berkuat kuasa.

Memetik Harian Metro, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jika parti komponen menyokong gabungan lain termasuk bagi tujuan menubuhkan kerajaan Persekutuan, maka Ahli Parlimen parti komponen itu perlu mengosongkan kerusi mereka.

Bagaimanapun, Azalina yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Parlimen dan Undang-Undang) berkata, Akta Anti Lompat Parti membenarkan gabungan politik untuk menyokong gabungan lain secara ‘en bloc’ (bergabung), namun perlu diingat ialah Undang-undang Larangan Lompat Parti dalam mentakrifkan parti politik, tidak membezakan antara gabungan politik dan parti politik komponen.

“Implikasinya di sini ialah sekiranya gabungan politik sedia ada bertanding di bawah satu logo dan membentangkan satu manifesto dalam pilihan raya umum dan yang lebih penting sekiranya calon-calon ini mendapat watikah (surat pelantikan calon) secara langsung daripada ketua gabungan parti politik masing-masing, gabungan ini adalah sebuah parti politik di bawah Undang-undang Larangan Lompat Parti.

“Oleh itu, mana-mana parti komponen yang ingin meninggalkan gabungan politik sedia ada seperti yang dinyatakan perlu mengosongkan kerusi mereka kerana mereka telah berpaling tadah daripada gabungan politik asal mereka.

“Mana-mana Ahli Parlimen yang enggan menuruti keputusan parti, juga akan tergugur keahlian parti ‘ceases to be a member’, dan perlu mengosongkan kerusi mereka di Parlimen.

“Ini akan bertindak sebagai penghalang kepada Ahli Parlimen daripada mengingkari arahan parti, sekali gus memastikan kepatuhan disiplin parti” katanya dalam kenyataan dimuat naik di akaun Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, Azalina yang menang di kerusi Parlimen Pengerang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkata, Ahli Parlimen daripada pelbagai parti politik dan gabungan parti politik, perlu secara kolektif memilih Perdana Menteri dan membentuk kerajaan Persekutuan pasca pilihan raya dalam kalangan mereka secara ‘en bloc’, bukannya secara berasingan.

“Jika segelintir Ahli Parlimen masih enggan mematuhi arahan parti dalam kaedah pemilihan Perdana Menteri dan pembentukan kerajaan Persekutuan, parti termasuk Barisan Nasional (BN) telah mewujudkan langkah untuk menguruskan disiplin parti, terutamanya di kalangan Ahli Parlimennya.

“Sebelum mereka menerima watikah dan pencalonan sebagai calon BN, semua calon parti telah menandatangani beberapa dokumen yang terdiri daripada surat tawaran, akuan berkanun, perjanjian pencalonan dan sumpah aku janji.

“Implikasi kolektif semua dokumen itu ialah semua ahli parlimen BN yang dipilih telah mengisytiharkan bahawa mana-mana kerusi yang mereka tandingi dan menangi adalah milik BN dan Pengerusi BN mempunyai hak prerogatif untuk merundingkan pembentukan kerajaan Persekutuan.

“Ahli Parlimen BN masing-masing juga telah bersetuju bahawa mereka akan berhenti menjadi ahli BN jika mereka melanggar arahan parti di mana mengikut Undang-undang Larangan Lompat Parti, mereka akan kehilangan kerusi mereka di Parlimen,” katanya.

Azalina berkata, langkah BN mengawal Ahli Parlimennya juga tidak melanggar hak kebebasan berpersatuan yang digariskan Perlembagaan Persekutuan.

“Ia tidak akan melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana dalam proses memperkenalkan Undang-undang Larangan Lompat Parti, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berpersatuan telah dipinda, untuk menyekat kebebasan berpersatuan bagi Ahli Parlimen.

“Ia tertakluk kepada Undang-undang Larangan Lompat Parti. Implikasinya di sini ialah seorang Ahli Parlimen terikat dengan arahan parti dan bukan lagi menjadi ‘ejen bebas’,” katanya.