Sekolah teknik, bukannya vokasional – Hassan Karim

Sekolah teknik, bukannya vokasional – Hassan Karim

Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Hassan Karim hari ini membuat kejutan apabila membela Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob yang dituduh menggunakan kroni atau ‘kabel’ untuk melanjutkan pengajian ke Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaya.

Menurut portal Malaysiakini, pemimpin PKR itu berkata dakwaan seorang pemilik akaun Facebook dengan nama Andrew Peris sebagai berniat jahat.

“Fakta yang dinyatakan oleh Andrew Peris itu tidak betul. Ada moleknya, saya ceritakan dari awal sejarah persekolahan Ismail Sabri. Beliau asalnya bersekolah rendah Melayu di Sekolah Kampung Bangau, Temerloh, Pahang. Selepas darjah enam, Ismail Sabri masuk ke sekolah berasrama, iaitu Sekolah Menengah Air Putih, Kuantan.

“Murid yang dipilih bersekolah di sekolah berasrama biasanya murid yang pandai. Ismail Sabri yang berasal dari sekolah rendah aliran Melayu terpaksa melalui kelas peralihan atau ‘remove class’ apabila di sekolah menengah.

“Dari kelas peralihan, Ismail Sabri terus melompat ke Tingkatan Dua. Beliau tidak ke Tingkatan Satu. Murid yang dibenarkan melompat dari Kelas Peralihan terus ke Tingkatan Dua, tentunya bukan murid yang lembam dan bodoh, ” katanya.

Menurut Hassan, Ismail Sabri kemudian lulus peperiksaan LCE (Lower Certificate Examination atau Sijil Rendah Pelajaran) aliran sekolah Inggeris.

Dia kemudiannya berjaya naik ke Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Teknik, Kuantan dan bukannya ke ‘sekolah vokasional’ seperti yang ditulis oleh Andrew.

‘”Ada perbezaan antara sekolah vokasional dengan Sekolah Menengah Teknik,” katanya.

Sebelum ini, tular mesej Andrew Peris yang mendakwa bahawa keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) Ismail Sabri adalah lemah menyebabkan dia memasuki sekolah vokasional di tingkatan empat.

Andrew juga mendakwa bahawa Ismail Sabri gagal Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM) dan pergi ke sekolah swasta untuk mengambil semula peperiksaan.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, ada fakta penting dalam tulisan Andrew salah kerana dia mengenali pemimpin Umno itu dan dan tahu sedikit sebanyak latar belakangnya.

“Mula-mula saya tak ambil peduli. Tetapi apabila saya teliti betul-betul tulisan Andrew Peris itu, saya yang dilatih sebagai seorang peguam nampak ada niat tidak baik si penulis,” katanya.

Menurut Hassan, dari segi politik mereka adalah bertentangan pihak tetapi ini bukan bermaksud mereka adalah bermusuhan tetapi mereka bersaing hebat.

“Kalau Andrew Peris hendak mengkritik Ismail Sabri Yaakob kerana kegagalan pentadbirannya atau kelemahan beliau sebagai seorang perdana menteri. Itu adalah wajar dan hak Andrew Peris berbuat demikian.

“Malah kritikan saya sebagai seorang ahli Parlimen pembangkang terhadap Ismail Sabri sebagai perdana menteri lebih tajam dan lantang, kadang-kadang tanpa belas kasihan. Tetapi itu tidak ada kena mengena dengan peribadi. Bukan serangan peribadi terhadap perdana menteri.

“Yang saya kritik adalah dasar-dasar kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang saya anggap silap, tidak sesuai dan ternyata gagal, misalnya,” katanya sambil menambah dia secara peribadi juga mengenali bapa Ismail Sabri, yang disifatkannya sebagai orang biasa, yang bekerja sebagai penoreh getah.