Selepas 11 ribu tahun, akhirnya wajah Perak Man dipertontonkan

Selepas 11 ribu tahun, akhirnya wajah Perak Man dipertontonkan

Perak Man, rangka manusia tertua berusia 11,000 tahun yang ditemukan 30 tahun lepas di Lembah Lenggong, Perak, kini mempunyai ‘wajah’ lakaran, yang siap pada 19 Jan lepas.

Lakaran wajah Perak Man itu dibuat menerusi kaedah 3D virtual reconstruction, oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.

Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM Dr Johari Yap yang juga merupakan seorang daripada penyelidik berkenaan berkata projek itu tercetus sejak dua tahun lepas, hasil idea Pakar Bedah Neurosurgeri di Hospital USM Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah.

Berkongsi cerita dengan Bernama, Johari berkata Jafri Malin yang banyak menjalankan kajian berkaitan neurosains dan kognitif telah mengajak beliau untuk mereka bentuk semula tulang kepala Perak Man dan seterusnya membuat lakaran wajah Perak Man.

Johari yang memilki kepakaran dalam pengimejan kraniofasial dan rekonstruksi 3D muka serta tengkorak berkata beliau telah menggunakan data imbasan CT Perak Man dan tengkorak yang terbentuk dalam imej 3D untuk dihantar melalui e-mel kepada Moraes bagi menghasilkan lakaran wajah.

Jelasnya sebelum mereka bentuk wajah, Moraes memerlukan maklumat seperti jantina, umur dan keturunan bagi menghasilkan tisu muka berdasarkan ketebalan purata melalui kajian sebelum ini.

“Apabila muka sudah terbentuk, pihak kami akan berbincang mengenai warna mata, warna kulit, rambut berdasarkan Antropologi Forensik.

“Oleh kerana Perak Man ini dirujuk sebagai ‘Australo-Melanesian’ serta merupakan nenek moyang kepada orang asli Negrito, maka ciri-ciri Negrito banyak mempengaruhi reka bentuk akhir muka Perak Man ini,” katanya.

Perak Man, rangka tulang manusia yang hampir sempurna yang dijumpai di Asia Tenggara pada zaman batu era paleolitik ditemukan hasil penyelidikan Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia USM yang diketuai Prof Datuk Dr Zuraina Majid dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.

Ia ditemukan pada 1991 di Gua Gunung Runtuh, Lembah Lenggong, Hulu Perak dan dipercayai hidup 10,000 hingga 11,000 tahun dahulu.

Ia juga merupakan tulang prasejarah yang mempunyai kecacatan kongenital yang dikenali sebagai brchymesophalangia. Perak Man telah dikebumikan dalam posisi janin di dalam kandungan, dengan kedua-dua kakinya berlipat ke arah dada. Ia dikebumikan dengan peralatan batu dan beribu-ribu kerang sungai.

Selain Johari, Jafri Malin dan Moraes, empat lagi penyelidik yang terlibat dalam kajian berkenaan ialah Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, Pakar Forensik Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM Dr Helmi Hadi, Pakar Pengimejan Kraniofasial Prof Dr Zainul Ahmad Rajion dan Pensyarah Sekolah Seni USM Norshahidan Mohamad.

Jelasnya, hasil kajian mendapati anggaran isi padu otak Perak Man adalah 1,204.91 mL, rendah sedikit daripada isi padu otak manusia moden yang dalam lingkungan 1,312 mL hingga 1,479 mL dan secara tidak langsung dapat memberikan sedikit maklumat kognitif berkaitan Perak Man.

“Walaupun dilahirkan dengan kecacatan fizikal, Perak Man terus hidup dan menjalani gaya hidup berburu dan berkumpul secara nomad, mungkin disebabkan penjagaan yang diberikan kepadanya. Dia mungkin mengatasi kekurangan fizikalnya dengan mengembangkan kemahiran berburu, atau mungkin dia jarang memburu dan melakukan tugas lain.

“Berdasarkan andaian statusnya, Perak Man mungkin seorang yang dihormati dalam kumpulan dan mungkin juga seorang dukun dan orang yang paling berpengetahuan dalam kumpulan mengenai kelangsungan hidup, pemburuan, pengumpulan dan aspek lain dalam kehidupan seharian Paleolitik.

“Perak Man berkemungkinan hidup sebagai pemburu, sama seperti gaya hidup kumpulan etnik Negrito, yang mungkin keturunan Perak Man,” menurut para penyelidik dalam jurnal itu.

Johari berkata menerusi perkembangan terbaharu kajian berkenaan, ia dilihat membuka jalan bagi pengkaji menggunakan teknologi abad ke-21 untuk memahami bagaimana interaksi antara otak, minda, tingkah laku dan budaya berlaku pada masa lalu.

“Teknologi 3D yang ada sekarang ini mampu menghasilkan lakaran muka yang mampu memberikan kefahaman baharu mengenai penemuan prasejarah di negara kita,” katanya. – AA