Selepas ayam, ikan pula naik harga
Belum reda isu kenaikan harga ayam di pasaran, harga ikan dan hasil laut pula naik sekali gus menjejaskan pengguna di negeri ini.
Tinjauan di Pasar Wakaf Tapai, di sini, mendapati harga ikan selayang dan ikan kembung masing-masing naik RM1 kepada RM10 serta RM18 sekilogram berbanding minggu lalu.
Manakala, harga sotong pula meningkat sehingga RM36 sekilogram berbanding RM30.
Peniaga, Anuar Zaini, 49, berkata harga ikan dan hasil laut lain sentiasa berubah dari semasa ke semasa terutama ketika musim tengkujuh ini.
“Harga jualan bergantung kepada bekalan ikan dan hasil laut, tetapi ia berbeza dengan trend kenaikan harga ayam. Jika ikan dan hasil laut banyak, harga jualan akan turun pada kadar yang sepatutnya.
“Tetapi jika bekalan berkurangan terutama pada musim tengkujuh, harga jualan ikan dan hasil laut lain akan melambung,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Katanya, kenaikan harga ikan dan hasil laut di luar kawalan peniaga dan kebiasaannya diselaraskan mengikut harga borong.
“Jika kami beli borong sudah mahal, mustahil kami akan menjualnya pada harga rendah dan kadar biasa.
“Kami sendiri tidak seronok berniaga apabila harga terlalu tinggi. Kadang-kadang berasa segan untuk memberitahu pelanggan. Akhirnya kami gantung sahaja harga jualan supaya pelanggan sedia maklum,” katanya.
Peniaga lain Shahrizal Zulkifli, 21, berkata dia tidak mengambil terlalu banyak stok jualan kerana bimbang tidak laku.
“Barang basah seperti ikan tidak tahan lama, jika diambil banyak untuk jualan semula, saya bimbang ia tidak laku dan rosak.
“Sekarang semua ikan naik harga dan terbaru ikan aya kurik juga naik daripada RM7 meningkat kepada RM9,” katanya.
Katanya, kenaikan harga ikan di pasaran bukan sahaja menjejaskan pengguna, tetapi turut memberi tekanan kepada peniaga.
“Jualan ikan di gerai saya menurun 80 peratus sejak akhir-akhir ini dan pengguna memilih membeli ayam walaupun harga ayam meningkat sekarang,” katanya.
Sumber – Harian Metro