Selepas dibantah MCA, PLUS umum kekalkan SmartTag dan Touch N Go

Selepas dibantah MCA, PLUS umum kekalkan SmartTag dan Touch N Go

Pemuda MCA hari ini membuat kenyataan menggesa Kementerian Kerja Raya mengkaji semula keputusan menamatkan sistem ‘Touch N Go’ dan SmartTag bagi pembayaran tol lebuh raya secara berperingkat.

“Memaksa kesemua kenderaan ini untuk bertukar kepada RFID sudah tentu akan membangkitkan pelbagai masalah”, tegas Naib Pengerusi Pemuda MCA, Chua Hock Kuan seperti dilapotkan portal Malaysiakini.

Sehubungan itu, Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail dalam kenyataan terbarunya sebentar tadi menjelaskan pengguna masih boleh menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG kerana hanya satu lorong RFID disediakan di plaza-plaza tol di laluan berkenaan.

Pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang akan diperkenalkan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari depan, adalah pilihan tambahan kepada platform transaksi sedia ada.

“Kami mendengar dan faham kebimbangan disuarakan oleh sesetengah pengguna lebuh raya mengenai penutupan lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG. Kami ingin menjelaskan bahawa kedua-duanya akan tetap beroperasi,” katanya dalam kenyataan yang dilaporkan akhbar Harian Metro.

Beliau berkata, transaksi menggunakan RFID adalah langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol menerusi Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong (MLFF).

PLUS sehubungan itu, katanya menggalakkan pengguna lebuh raya beralih kepada RFID dengan mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go, ejen pemasaran yang dilantik atau di 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung.

“Bagi merealisasikan MLFF seperti yang dilaksanakan di negara lain, pengguna lebuh raya terlebih dulu perlu beralih kepada RFID secara berperingkat dalam satu jangka masa tertentu bagi memberi peluang mereka menyesuaikan diri dengan kaedah pembayaran tol alaf baru tersebut,” katanya.