Selepas diberikan pertambahan kuota, timbul pertanyaan berapa cas bayaran mengerjakan haji yg dikenakan tahun ini?

Selepas diberikan pertambahan kuota, timbul pertanyaan berapa cas bayaran mengerjakan haji yg dikenakan tahun ini?
Kuota sudah tahu, bayaran haji pula macamana?

Semalam TH telah mengumumkan kuota haji jemaah Malaysia sudah dikembalikan kepada asal iaitu 31,600 jemaah.

Satu perkara yang kritikal bagi TH ialan bayaran haji. Setelah dibekukan untuk tempoh lebih sepuluh tahun, bayaran haji dinaikkan kepada RM 10,980 kepada jemaah B40 dan RM 12,980 kepada jemaah lain. Ini berbanding dengan kos haji yang sudah mencapai RM 28,632 di musim lepas.

Ini bermakna jemaah B40 hanya membayar 38% dari kos haji manakala jemaah lain membayar hanya 45% dari kos haji sebenar. Jurang di antara bayaran yang diterima dengan kos sebenar ini ditanggung oleh pendeposit TH dengan mengambilnya dari keuntungan pelaburan yang dibuat dengan menggunakan dana yang dikumpulkan oleh TH dari pendeposit. TH tidak mempunyai dana sendiri walaupun 1 sen.

Apabila Malaysia mendapat kuota tambahan, kos akan meningkat kepada tahap yang lebih tinggi kerana biasanya makluman berkenaan kuota ini disampaikan sudah hampir dengan musim haji. Walaupun TH boleh merancang lebih awal, tetapi harga sewa hotel dan kos penerbangan akan memuncak di ketika itu. Maka, lebih banyak keuntungan pendeposit yang perlu digunakan sebagai “subsidi”.

Ramai orang tersalah anggap bahawa apa yang digelar “subsidi” ini datangnya dari kerajaan. Ada beberapa salah anggap di dalam hal ini:

1. Ianya BUKAN idea Ungku Aziz. Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji Malaya yang ditubuhkan di dalam tahun 1963 hasil dari ilham Ungku Aziz hanyalah sebuah institusi penabungan. Apabila cukup, bakal-bakal haji akan menggunakan tabungan ini untuk membayar kos haji kepada sheikh-sheikh haji di Pulau Pinang atau pun Singapura.

2. Apabila Lembaga Urusan dan Tabung Haji ditubuhkan di dalam tahun 1969, barulah urusan tabungan dan operasi haji digabungkan. Namun jemaah haji Malaysia dikenakan kos haji yang sebenar berdasarkan apa yang ditetapkan oleh TH.

3. Di dalam tahun 2001 (jika tak salah saya) kerajaan memberikan subsidi RM 500 kepada setiap jemaah. Ini adalah kali yang pertama dan terakhir ada subsidi dari kerajaan. Selepas itu, perbezaan di antara kos sebenar haji dan bayaran yang diterima dari jemaah yang lebih rendah ditanggung oleh para pendeposit TH secara berjemaah. Malangnya ianya diwar-warkan sebagai “subsidi”.

Walaupun dengan adanya TH seperti sekarang ini membolehkan bakal-bakal haji menabung, kaedah “subsidi” ini menyebabakan tempoh menunggu untuk mendapatkan kuota haji sudah melebihi 130 tahun. Ini bermakna sekiranya seorang bayi dilahirkan pada hari ini dan ibunya membuka akaun dan mendaftar haji baginya, bayi berkenaan hanya boleh menunaikan haji apabila berusia 130 tahun atau lebih.

Bagi saya, ini sudah tidak mencapai matlamat penubuhan TH seperti yang diilhamkan oleh Ungku Aziz dahulu.

Di dalam bab haji ada konsep istitoah atau kemampuan. Ini melibatkan kesihatan, keselamatan dan juga kewangan. Sekirannya seorang muslim tidak cukup dana untuk mengerjakan haji, Allah SWT tidak mewajibkannya ke atas orang berkenaan.

Sudah sampai masanya kita mengkaji semula apa yang dikatakan “subsidi” ini kerana ianya sudah menyebabkan tujuan asal TH untuk membolehkan umat Islam menabung dan mengerjakan haji tidak dapat dipenuhi. Ada isu-isu shariah di sebalik perkara ini dan ianya perlu dimuzakarahkan dengan tenang dan adil. Adil tidak bermakna keputusan berkenaan akan popular. Namun kita kena ingat, Allah SWT tidak menyusahkan hambaNya dan bebanan kena dikenakan ke atas hambaNya yang benar-benar memenuhi syarat, walaupun pengundi tak suka.

Sumber – FB Nik Hasyudeen