Selepas Eurocham, KSI pula mohon Agong gerakkan tentera bantu percepat vaksinasi
Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja digesa memberi kuasa kepada angkatan tentera untuk membantu mempercepat usaha vaksinasi.
Dalam surat bertarikh 27 Mei yang ditujukan kepada Agong, Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI) berkata, tentera adalah badan yang paling berkemampuan dan berkelengkapan untuk menerajui usaha meningkatkan kadar vaksinasi di seluruh negara.
Katanya, memandangkan persediaan seumpama menghadapi “peperangan” diperlukan untuk memerangi wabak Covid-19, angkatan tentera perlu diberikan semua sumber dan kuasa pelaksanaan mengikut peruntukan undang-undang darurat, dengan objektif tunggalnya bagi memperoleh vaksin yang diluluskan dan mengagihkannya tanpa melalui birokrasi.
“Angkatan tentera akan dapat menggunakan rizab Covid-19 bernilai RM5 bilion untuk menjalankan tugas ini, dan mengatasi segara syarat regulatori yang tidak perlu,” katanya.
“Ia juga akan membolehkan pembelian vaksin baharu yang sudah diuji dan diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tanpa perlu mendapat kelulusan lanjut badan regulatori tempatan.”
Surat berkenaan ditandatangani Presiden KSI, Michael Yeoh, yang juga seorang ahli ekonomi, dan penasihatnya, tokoh hartanah Lee Kim Yew.
Kata KSI, kaedah ini membolehkan kadar vaksinasi membabitkan sejuta dos sehari dicapai, dan negara boleh mencapai sasaran 80% imuniti kelompok dalam tempoh beberapa bulan.
Tambahnya, sektor swasta seharusnya dapat memperoleh vaksin dengan penyelarasan pihak tentera. – FMT