Selepas Guan Eng, Abdul Hadi juga disiasat main sentimen 3R

Selepas Guan Eng, Abdul Hadi juga disiasat main sentimen 3R

 

Polis akan menjalankan siasatan ke atas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengikut Akta Hasutan 1948.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata siasatan ke atas Ahli Parlimen Marang itu susulan satu hantaran di akaun Facebook bertajuk Minda Presiden PAS, pada Sabtu lalu yang mengulas mengenai parti DAP.

Menurut Razarudin, hasil siasatan awal polis mendapati hantaran berkenaan mengandungi kenyataan yang berunsur perkauman yang boleh mencetus kegusaran awam.

“Satu laporan polis berkait perkara ini telah dibuat di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada jam 7 malam tadi (semalam).

“Siasatan akan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya kepada BH.

Dalam pada itu, katanya, PDRM turut akan merakam percakapan wartawan New Straits Times (NST) yang menerbitkan berita secara dalam talian berhubung kenyataan Hadi itu.

Katanya, siasatan ke atas artikel itu berkaitan laporan berita bertajuk ‘Hadi again accuses DAP of Chinese agenda, using Malay spokesperson to achieve goals’.

“Antara intipati kenyataan itu adalah DAP berhasrat mengekalkan pengertian Islam dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang dianuti oleh Barat.

“Selain itu, antara intipati lain yang diterbitkan menerusi laporan itu adalah dakwaan Hadi bahawa ‘DAP berjaya melantik jurucakap daripada orang Melayu yang lupa akan kemelayuan mereka dan terpinggir dari segi ketaatan kepada Islam’,” katanya.

Menurut Razarudin kedua-dua pihak iaitu Hadi dan akhbar NST akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.