Selepas Hadi, giliran Sultanah Trengganu pula terpaksa bayar Rewcastle Brown

Selepas Hadi, giliran Sultanah Trengganu pula terpaksa bayar Rewcastle Brown

Mahkamah tinggi menolak saman fitnah yang difailkan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain.

Memetik laporan FMT, Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Kien How @ Johan Abdullah berkata, kenyataan dalam buku bertajuk “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose” bukannya fitnah.

“Pada pendapat saya, reputasi plaintif tidak terjejas,” katanya dalam keputusan lisan yang disampaikan dalam talian petang ini.

Kenyataan yang disangkal itu berbunyi: “(Ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low) juga baik dengan pemain utama di Terengganu, isteri sultan, yang persetujuannya diperlukan untuk menubuhkan dana itu dan baginda kemudiannya mengatakan sokongannya penting untuk beliau mendapat jawatan penasihat.”

Hakim turut memerintahkan kos sebanyak RM80,000 dibayar kepada Rewcastle Brown, penerbit Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.

Dalam pembelaannya, Rewcastle Brown mendakwa beliau membuat “kesilapan jujur” apabila mengenal pasti “pemain utama” dalam kenyataan disangkal itu sebagai “isteri sultan”. Dakwanya, beliau sepatutnya merujuk kepada saudara perempuan Sultan.

Johan dalam penghakimannya mendapati Rewcastle Brown sudah memohon maaf atas identiti salah itu.

Katanya, kes defendan juga menyatakan kenyataan itu tiada sebarang imputasi fitnah.

Mereka turut membangkitkan beberapa pembelaan lain, termasuk justifikasi, keistimewaan layak, pembelaan “Reynolds”, “bane and antidote” serta pembelaan “Lucas Box”.

“Tetapi, saya mendapati kebanyakan pembelaan tidak terpakai dalam kes kita ini.”

Johan berkata, dengan mengambil kira punca tindakan berdasarkan makna biasa dan semula jadi perkataan, bukannya sindiran undang-undang, tiada fakta ekstrinsik diterima untuk menganalisis kenyataan dalam buku itu.

“Mahkamah hanya boleh membuat keputusan daripada perspektif pembaca munasabah. Hanya rujukan semula jadi daripada makna harfiah kenyataan itu boleh diterima.

“Tiada ‘kesimpulan berdasarkan andaian’ boleh diterima.”

Di sebalik kesimpulan fakta, katanya, kenyataan Rewcastle Brown bahawa plaintif bersetuju dengan penubuhan dana kekayaan berdaulat tidak merosakkan reputasinya dalam apa cara jua.

Beliau berkata, seseorang tidak akan diperlekehkan dalam apa jua cara kerana menyokong orang lain untuk sesuatu pekerjaan kerana sokongan sedemikian, termasuk melalui surat sokongan, ialah sebahagian daripada budaya Malaysia.

Tambahan, Johan berkata, Low sendiri yang mendakwa beliau mendapat sokongan Sultanah untuk jawatan itu.

“Kesimpulannya, saya tidak nampak sebarang imputasi fitnah daripada kenyataan itu, walaupun jelas wujud masalah identiti salah. Oleh itu, kes plaintif dengan ini ditolak.”

Sultanah memulakan saman fitnah RM100 juta itu pada 2018, dengan mendakwa Rewcastle Brown membuat kenyataan memperkecilkannya dalam buku itu.

Buku yang ditulis Rewcastle Brown itu menceritakan kisah di sebalik siasatan Sarawak Report ke atas skandal 1MDB.

Sultanah mendakwa kenyataan itu mencadangkan beliau terbabit dalam amalan rasuah dan campur tangan dalam pentadbiran Terengganu, selain menggunakan statusnya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA), yang kemudiannya dikenali sebagai 1MDB.

Sultanah turut mendakwa kenyataan itu boleh ditafsirkan dengan maksud belaiu membantu Low mendapatkan jawatan penasihat TIA.

Selain Sultanah, dua sakti lain turut memberi keterangan untuk plaintif, manakala Rewcastle Brown serta seorang pakar bahasa memberi keterangan bagi pihak defendan.

Peguam Haaziq Pillay Abdullah dan Vishnu Kumar mewakili Sultanah, manakala Americk Sidhu serta Mervyn Lai mewakili defendan.