Selepas Hadi, lagi pemimpin Pas nafi pernah fitnah Anwar sebagai ejen Israel

Selepas Hadi, lagi pemimpin Pas nafi pernah fitnah Anwar sebagai ejen Israel

Ahli Parlimen Pas Hassan Saad menafikan pernah mengeluarkan kenyataan mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Memetik laporan MalaysiaGazette, Hassan yang memenangi kerusi Parlimen Baling pada Pilihan Raya Umum ke-15 berkata, video menggunakan gambar beliau sebagai latar belakang telah mengaitkan Anwar dengan Israel dikesan tular sejak 27 November lalu.

“Kesan penyebaran video dengan suara latar seorang wanita itu membuatkan ada yang mempercayainya walaupun jelas ia bukanlah kenyataan atau suara milik saya.

“Justeru saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan seperti mana didakwa dan ditularkan dalam video berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memohon semua pihak supaya menyiasat terlebih dahulu sebelum mudah mempercayai apa-apa berita atau maklumat.

Media semalam melaporkan pihak polis telah menerima laporan berhubung kenyataan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Baling itu terhadap Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Katanya, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Anwar dilaporkan telah menghantar surat tuntutan kepada Hassan dan memberi masa tiga hari supaya menarik balik dengan serta-merta kenyataan dan audio fitnah mengaitkan pelantikannya dengan pengaruh Israel.

Anwar yang mengemukakan surat tuntutan (LOD) melalui firma guaman SN Nair & Partners, turut menuntut Hassan membuat permohonan maaf tanpa syarat dalam cara dan bentuk yang akan diluluskan peguam beliau serta disiarkan dalam akhbar dan media pilihannya.

Selain itu, Hassan diminta mengemukakan aku janji bertulis untuk tidak mengulangi mana-mana dakwaan dan komen seperti dalam perkataan serta audio memfitnah berkenaan.