Selepas Indonesia, Microsoft umum pula pelaburan RM10.5 bilion di Malaysia

Selepas Indonesia, Microsoft umum pula pelaburan RM10.5 bilion di Malaysia

 

Microsoft mengumumkan pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jumlah ini adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

“Terima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi di Putrajaya hari ini.

“Satya memaklumkan bahawa gergasi teknologi Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun mendatang.

“Pelaburan ini meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan kecerdasan buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar berkata, Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan ini yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik.

Katanya, pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara.

“Usai kunjungan hormat, saya dan Satya kemudiannya menghadiri Forum Kepimpinan AI Nasional.

“Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan Kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.

“Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya.