Selepas jadi menteri, Idris hanya mampu mengeluh berdepan isu drama ‘lucah’ lakonan artis Melayu

Selepas jadi menteri, Idris hanya mampu mengeluh berdepan isu drama ‘lucah’ lakonan artis Melayu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad menegur sedutan klip video “panas” dikongsi pelakon, Zul Ariffin yang juga dikatakan “teaser” bagi sebuah drama yang akan disiarkan dalam bulan Ramadan di stesen televisyen tempatan.

Idris dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau akui kecewa dengan paparan klip video “teaser” drama yang dikongsi pelakon itu dan menyifatkan sebagai melampaui batas dan ia perlu ditegur.

Katanya, beliau akan menghubungi pihak yang terbabit untuk mendapatkan nasihat supaya perkara itu boleh ditegah dan diubah dengan hikmah.

“Hela nafas panjang saya apabila sebuah drama yang telah ditular untuk ditayangkan dalam bulan yang sepatutnya ditunggu oleh seluruh manusia yang beriman bagi mengejar taqwa, namun seolah dicemari dengan kegusaran yang saya kira melampui batas yang perlu ditegur.

“Hiburan tidak dihalang dalam Islam namun, tatacara hiburan dalam Islam pastinya terdapat disiplin yang tegas, apatah lagi melibatkan ikhtilat (pergaulan antara dua jantina) yang berlebihan dengan adegan yang ternyata mengundang maksiat.

“Industri hiburan di Malaysia ini bukanlah perkara yang ingin saya halangi, tapi jika ianya mencemarkan fitrah dalam agama, saya tidak boleh membiarkan ianya berlaku tanpa dinasihati,” katanya di Facebook.

Video “teaser” drama berkenaan yang berdurasi lebih 20 saat itu mula tular di media sosial sejak semalam dan menerima banyak komen serta reaksi daripada warganet.

Idris berkata, mengingatkan seluruh umat Islam, tidak kira usia dan kedudukan untuk bersiap menghadapi Ramadan yang menjanjikan sejuta hikmah.

“Persiapkan diri, pasangan, keluarga dan masyarakat sekeliling kita agar memeriahkan Ramadan dengan penuh pengharapan dan keinsafan.

“Jauhi perkara mendekatkan kita dengan maksiat, agar Ramadan kita tidak tercalar dan cacat cela. Moga Allah terus memimpin kita,” katanya.