Selepas Khairuddin, Tarmizi ambil alih tugas pertahan Hadi
Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman menyelar kritikan Timbalan Presiden Amanah,Salahuddin Ayub terhadap Abdul Hadi Awang susulan pertemuan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu dengan wakil Taliban.
Pemimpin PAS itu berkata kritikan Salahuddin terlalu dangkal apabila cuba mempolemikkan peranan Abdul Hadi serta terpengaruh dengan sentimen DAP dan Barat yang tidak senang dengan pemulihan Afghanistan.
“Salahuddin tidak dapat membezakan peranan seluruh dunia yang sedang membantu memulihkan Afghanistan dari segi kemanusiaan khususnya yang sangat terjejas teruk akibat penaklukan Amerika Syarikat sebelum ini.
“Pertemuan (di Qatar) itu ternyata langkah ke hadapan untuk melaksanakan tanggungjawab keamanan sejagat khususnya di negara-negara bekas konflik yang masih dibelenggu isu kemanusiaan.
“Hal ini sepatutnya diberi tumpuan oleh seluruh dunia. Langkah Utusan Khas Timur Tengah adalah sangat bijak untuk mendapatkan maklumat yang jelas dan pasti dari pihak kerajaan Afghanistan sendiri mengenai perkara yang berlaku di negara itu,” kata Ahmad Tarmizi seperti dilaporkan portal Malaysiakini.
Dia mengulas kenyataan Salahuddin semalam yang mendakwa Hadi mendahului kabinet dalam mengiktiraf pentadbiran Taliban di Afghanistan serta memberi jaminan bantuan dan sokongan terhadap pihak itu.
Salahuddin juga berkata Abdul Hadi juga dilihat mendahului kabinet atau perdana menteri semasa membuat pengumuman tersebut, sedangkan kerajaan belum secara rasmi mengiktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan.
Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata pertemuan sempena lawatan kerja Abdul Hadi ke Qatar tersebut memberi tumpuan kepada menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.
“Malah, langkah (pertemuan itu) sangat tepat untuk membuat hubungan yang bakal dibuat oleh Malaysia. Tindakan ini satu usaha diplomasi awal untuk mesej kemanusiaan dan keamanan sejagat,” katanya.
“Salahuddin sepatutnya memahami umat Islam tanpa mengira batas sempadan negara bersedia membantu manusia lain. Walaupun mungkin ada perbezaan pandangan politik, tetapi tidak sepatutnya dipengaruhi dalam isu kemanusiaan,” katanya.
Dia juga menyifatkan kenyataan Salahuddin sebagai melulu dan seperti tidak senang jika Malaysia memberi bantuan kemanusiaan terhadap Afghanistan yang dilanda ketidakstabilan selama puluhan tahun.