Selepas lama dicari pengundi Tambun, akhirnya Peja buat kemunculan dengan cadangan terbaru ini

Selepas lama dicari pengundi Tambun, akhirnya Peja buat kemunculan dengan cadangan terbaru ini

Bersatu menggesa tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri direhatkan.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan perbicaraan yang melibatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak menghadapi sebarang gangguan atau kelewatan.

Gesaan itu dibuat selepas Ahmad Zahid membuat permohonan kepada mahkamah supaya pasport beliau dikembalikan.

“Dalam permohonannya Datuk Ahmad Zahid mendakwa beliau telah diberi mandat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakilinya dalam beberapa urusan pentadbiran negara.

“Selain bagi melancarkan pergerakan, urusan dan tugasan selaku Timbalan Perdana Menteri yang dikehendaki berada di dalam dan di luar negara.

“Permohonan yang menggunakan alasan kepentingan negara ini nyata dilihat memberi tekanan kepada pihak mahkamah serta hakim dan akan menganggu proses perbicaraan,” kata Ahmad Faizal dalam kenyataan, memetik MalaysiaGazette.

Beliau berkata, tugas Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri memberi kesan kepada pihak kehakiman untuk menjamin perbicaraan yang efisyen, lancar serta tanpa penangguhan.

Tambah Ahmad Faizal, pemulangan pasport akan menyebabkan lebih banyak kelewatan dalam proses perbicaraan dengan pelbagai alasan melibatkan urusan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Hakikatnya pentadbiran negara mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang masih berdepan perbicaraan 47 pertuduhan di mahkamah ketika ini juga perlu dilihat sebagai perosak kepada komposisi Jemaah menteri serta kerajaan secara keseluruhan.

“Ia adalah satu penghinaan kepada majoriti pengundi dalam pilihan raya umum ke-15 yang mengharapkan sebuah kerajaan bersih, telus dan berintegriti,” kata Ahmad Faizal.

Justeru menurut Ahmad Faizal, tindakan terbaik yang perlu diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dengan merehatkan Ahmad Zahid.

Ahmad Faizal berkata, tindakan itu dapat menjamin sistem kehakiman negara terus bebas dan adil.

Semalam media melaporkan, Ahmad Zahid menegaskan, pasport antarabangsanya yang kini ditahan Mahkamah Tinggi menjadi kekangan kepada beliau untuk melaksanakan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet.

Ahmad Zahid berkata, pasport antarabangsa diperlukan bagi membolehkan Jabatan Imigresen memproses permohonan beliau untuk mendapatkan pasport diplomatik bagi memudahkan perjalanan keluar masuk negara.

Sehubungan itu, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi agar pasport antarabangsanya yang ditahan sebagai syarat jaminan tambahan, dikembalikan secara kekal secepat mungkin.