Selepas Leicester, bintang Man Utd pula tunjuk solidariti buat Pal3stin

Selepas Leicester, bintang Man Utd pula tunjuk solidariti buat Pal3stin

Paul Pogba dan rakan sepasukan Manchester United, Amad Diallo mengibarkan bendera Palestin di padang Old Trafford selepas seri 1-1 berdepan Fulham pagi tadi.

Pemain tengah United, Pogba diberikan bendera berkenaan oleh penyokong ketika pemain berjalan keliling padang sebagai tradisi penghormatan selepas perlawanan terakhir di laman sendiri dalam Liga Perdana musim ini.

Pemenang Piala Dunia Perancis, Pogba dan bintang Ivory Coast, Diallo kedua-duanya Muslim, membawa bendera sebagai sokongan buat Palestin dengan kira-kira 10,000 penyokong menyaksikannnya selepas kekangan COVID-19 dikurangkan.

Kempen serangan Israel ke atas Gaza membunuh 213 rakyat Palestin termasuk 61 kanak-kanak dan mencederakan lebih 1,400 orang di Gaza sejak lebih seminggu berperang dengan pejuang Islam, Hamas menurut kementerian kesihatan di Gaza.

Kematian di pihak Israel pula ialah 12 orang berikutan bedilan roket Hamas.

Ribuan penunjuk perasaan menyokong Palestin Sabtu lalu di bandar utama Eropah termasuk London, Berlin, Madrid dan Paris ketika pertempuran memuncak di Gaza. – BH