Selepas memilih PN, impian Kelantan miliki royalti minyak hancur berkecai?
Umum mengetahui PRN Melaka telahpun melabuhkan tirainya. Drama tarik tali parti Pas dalam memilih rakan gabungannya PN berbanding BN yang sama-sama membentuk MN bagi bertanding PRN ini juga berakhir dengan bencana.
Bukan sahaja gagal memperolehi kemenangan sulungnya di Melaka, malah lebih memalukan hilang deposit 7 daripada 8 kerusi yang dipertandingkan. Sedangkan BN yang dituduhnya ekstrem itu berjaya meningkatkan jumlah kerusi menjadi 21 buah.
Gara-gara tersilap memilih rakan gabungan ini juga, ianya turut didakwa memberi kesan terhadap permohonan kerajaan Pas Kelantan dalam kes menuntut pembayaran royalti petrloeum yang dimulakan oleh almarhum MB Kelantan ketika itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengulangi keputusan kerajaan bahawa Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, beliau berkata, ini kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan, seperti dilaporkan portal FMT.
Namun begitu katanya, memandangkan lokasi medan petroleum adalah berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka kerajaan persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ehsan.
“Ia bagi melaksanakan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri tersebut,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh kerajaan negeri Kelantan.
Pada 1 Nov lalu, Exco kerajaan Kelantan Dr Izani Husin turut membangkitkan soal pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan itu menggesa Putrajaya menghayati semangat perjanjian petroleum antara Kelantan dan kerajaan persekutuan pada 1975.
“Perjanjian ini bukan sama sekali untuk menghalang pembayaran kepada kerajaan negeri, dengan mengadakan syarat-syarat baru atau interpretasi baru seperti tiga batu nautika dari pesisir pantai,” beliau dilaporkan berkata.
Isu royalti petroleum sekian lama diperjuangkan kerajaan Kelantan termasuk mengambil tindakan saman terhadap kerajaan persekutuan.
Meskipun PAS menyertai kerajaan persekutuan sejak Mac tahun lalu, isu royalti itu masih menjadi ‘duri’ dalam hubungan Putrajaya dan kerajaan Kelantan.