Selepas menang besar di Melaka, BN mula pasang impian takluk Malaysia pula

Selepas menang besar di Melaka, BN mula pasang impian takluk Malaysia pula

Kegembiraan meraikan kemenangan besar BN di PRN Melaka nampaknya belum menampakkan tanda-tanda akan surut dalam tempoh terdekat.

Meskipun Zahid dan Ab Rauf berdepan kompaun RM10 ribu setiap seorang oleh KKM selepas didapati melanggar SOP, namun ianya sedikit pun tidak merencatkan majlis keraian tersebut.

Malah dalam keadaan penuh bersemangat, Tok Mat, Timbalan Presiden UMNO sudah mula membayangkan hasrat kepada Ismail Sabri supaya pembubaran Parlimen dilakukan segera seterusnya memberi jalan kepada Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15)

Kewajaran mengadakan PRU-15 secepat mungkin bersandarkan kepada alasan bahawa demi mengekalkan momentum sokongan rakyat yang dilihat memihak kepada BN ketika ini.

Malah melihatkan kejayaan BN memperolehi majoriti 2/3, Tok Mat mula memasang impian melihat BN mengulangi pencapaian gemilangnya pada PRU-11 sewaktu di awal kepimpinan Pak Lah dahulu.

Katanya perkara itu turut disuarakan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam selepas BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti dilaporkan portal akhbar Malaysiakini.

“Saya bercakap dengan perdana menteri semalam yang mana kita perlu pertimbangkan untuk segerakan PRU15. Suka atau tidak kita tunggu sehingga bulan Julai nanti sebab perjanjian (memorandum persefahaman kerajaan dan pembangkang) hingga bulan Julai tahun depan.

“Ini pun tidak tahu kerana banyak yang kalah teruk di Melaka…tidak tahulah pula kalau mereka menarik diri sebab dalam politik apa jua boleh berlaku. Dinamiknya berubah setiap hari dan tidak statik, justeru terpulang kepada BN dan Umno untuk membuat ulang kaji,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) di Seremban hari ini.

Memorandum Persefahaman antara kerajaan dan pembangkang itu berkuat kuasa daripada tarikh ia ditandatangani, iaitu 13 Sep lepas dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia ke-14, juga pada masa sama kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Sementara itu, Mohamad berkata berkata kemenangan BN pada PRN Melaka merupakan satu keputusan daripada rakyat negeri Melaka yang jelas memberikan isyarat bahawa mereka ingin sebuah kerajaan yang stabil serta membawa kesejahteraan, kemakmuran kepada negeri dan negara.

“Itu isyarat yang boleh saya baca. Saya bersyukur atas kemenangan tersebut tetapi ini satu amanah yang besar diberikan kepada BN agar kerajaan Melaka yang baru mengurus tadbir dengan baik.

Saya harap ini juga merupakan sentimen di seluruh negara. Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Melaka, pengundi-pengundi Melaka kerana memberi kepercayaan kepada kami,” katanya.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Mohamad berkata BN akan melakukan post-mortem pada Isnin minggu depan membabitkan prestasi keputusan PRN Melaka dan sehubungan itu juga Umno masih lagi terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN).