Selepas mengajar Hamid, Takiyuddin perlukan cermin lebih besar untuk melihat dirinya sendiri – Lim Kit Siang

Selepas mengajar Hamid, Takiyuddin perlukan cermin lebih besar untuk melihat dirinya sendiri – Lim Kit Siang

Menteri undang-undang Takiyuddin Hassan, yang telah menasihati penjawat awam agar lebih berhati-hati ketika berbicara mengenai undang-undang dan menahan diri dari membuat tafsiran berdasarkan emosi, harus mengambil nasihatnya sendiri, kata Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Lim berkata demikian mengulas pelbagai alasan Takiyuddin agar Parlimen terus ditutup semasa darurat walaupun Yang Di-Pertuan Agong menyatakan bahawa badan perundangan boleh bersidang jika perdana menteri menasihati sedemikian.

“Takiyuddin beranggapan dengan anggapan yang paling salah bahawa dia mengawal Parlimen dan memutuskan sama ada Parlimen boleh bersidang atau tidak, bahawa dia lebih berkuasa dan lebih penting daripada speaker Parlimen, yang dipandangnya sebagai hanya mengikut arahan.

“Adakah Takiyuddin menyedari bahawa Speaker Dewan Rakyat berada di tangga ke-13 dalam senarai protokol, seperti yang disiarkan dalam Perintah Keutamaan Persekutuan, sementara menteri kabinet – termasuk menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) – berada di bawah senarai, menduduki tempat ke-16 dalam senarai protokol?” soal Lim.

Oleh itu, Lim mengatakan bahawa adalah tidak masuk akal bagi Takiyuddin untuk menganggap dirinya sebagai “Tuan Parlimen” yang boleh memutuskan sama ada Parlimen boleh bersidang atau tidak.

Lim mengatakan Takiyuddin telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan menegaskan bahawa Parlimen tidak boleh bersidang.

“Kabinet Muhyiddin telah melanggar Perlembagaan Malaysia.

“Ia tidak seharusnya terus mengabaikan dan melanggar Perlembagaan tetapi harus memutuskan pada hari Rabu ini untuk menasihati Yang di Pertuan Agong untuk Parlimen bersidang – dan membiarkan perkara-perkara seterusnya seperti perlindungan apa yang harus diambil dalam menghadapi wabak Covid-19 (dengan ancaman keempat Gelombang Covid-19) kepada Speaker dan jawatankuasa parlimen yang berkaitan,” kata ahli parlimen DAP itu.

Nasihat Takiyuddin kepada penjawat awam hadir setelah bekas ketua polis negara Abdul Hamid Bador mengkritik Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin kerana campur tangan dalam pelantikan pegawai kanan polis.

Takiyuddin mengatakan bahawa pelantikan itu berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis, yang dipengerusikan oleh Hamzah.

Namun, Takiyuddin tidak mempertimbangkan kenyataan bahawa Hamzah mengaku membincangkan pelantikan orang yang berpihak kepadanya bagi jawatan penting dalam pasukan polis yang disebutnya sebagai “budak kita”.

Rakaman perbualan itu ditularkan sebelum ini dan kemudian disahkan oleh Hamzah sendiri. – MK