Selepas Musa Aman, kini giliran bekas pimpinan PAS dilepaskan dari pertuduhan pecah amanah

Selepas Musa Aman, kini giliran bekas pimpinan PAS dilepaskan dari pertuduhan pecah amanah

Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) melibatkan 16 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM321,273.80 berkaitan gajinya sebagai pengerusi Yayasan Nassar.

Bagaimanapun, beliau masih menghadapi 14 pertubuhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.65 juta.

Peguam bela Mohd Shukri Ahmad Mansor memberitahu Malaysiakini bahawa hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Salleh memutuskan DNAA daripada 16 tuduhan pecah amanah semasa prosiding 22 September.

Kesemua 16 tuduhan pecah amanah berkaitan dakwaan menerima RM321,273.80 gaji secara tidak jujur ketika menjadi pengerusi Yayasan Nassar antara tahun 2015 dan 2018.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Nasharudin telah menghantar surat perwakilan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 7 Julai.

Penghantaran surat perwakilan adalah satu kaedah yang dicadangkan oleh pihak pembelaan untuk menyelesaikan suatu kes, seperti penarikan balik tuduhan atau mengaku bersalah atas hukuman yang lebih ringan.

“Surat perwakilan itu diterima sebahagiannya, semua 16 tuduhan pecah amanah (berkaitan gaji Nasharudin) diminta untuk ditarik oleh pihak pendakwaan.

“Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 September lalu memberikan DNAA atas 16 tuduhan itu.

“Bagaimanapun, baki 17 tuduhan (pecah amanah dan pengubahan wang haram) masih diteruskan,” kata Shukri.

Nasharudin, bekas anggota parlimen Bachok dan Yan berusia 57 tahun didakwa melakukan tiga kesalahan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, melakukan pengubahan wang haram secara tidak langsung.

Transaksinya membabitkan hasil aktiviti haram iaitu mendepositkan wang peruntukan daripada Kementerian Kewangan Malaysia kepada Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) berjumlah RM302,069.60 menggunakan cek milik syarikatnya Wassatiyah Centre For Peace Sdn Bhd ke dalam tiga akaun berbeza milik Sisma Auto (KL), SMR Performance Sdn Bhd dan Duadaya Interior Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu dari 9 November hingga 20 Disember 2018.

Bagi, pertuduhan pecah amanah, dia dituduh bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. Ia didakwa dilakukan antara 2015 hingga 2018, melibatkan dana RM3,721,683.80 yang dikaitkan dengan kedudukan Nasharudin sebagai CEO GMM dan pengerusi Nassar Foundation.

Jika sabit kesalahan, Nasharudin boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Sumber: Malaysiakini