Selepas Noor Nabila, kini Ruhil Amani pula umum sudah bercerai dengan suaminya
Penyanyi Ruhil Amani mendedahkan sudah bercerai dengan suami, Jamil Wilson sejak bulan Mei tahun 2019 lagi.
Jelas Ruhil, dia mengambil pendekatan mengunci mulut mengenai keretakan rumah tangganya bagi menjaga kesihatan mental anak-anaknya yang mengambil ujian ketika itu.
“Di sini saya ingin memaklumkan dan mengesahkan yang saya dan juga bekas suami saya sudah bercerai pada tanggal Mei, 2019. Sebelum ini saya mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan pada kawan semua kerana sebagai seorang ibu.
“Tanggungjawab dan keutamaan saya adalah untuk melindungi anak saya Ariana yang pada ketika itu berusia 15 tahun dan akan menduduki peperiksaan penting dan anak saya Raayan yang baru sahaja berusia lebih kurang 8 tahun.
“Tumpuan saya adalah untuk memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan situasi kehidupan yang baru kerana perceraian buat sesiapa saja, tidak akan pernah adil buat anak-anak.
“Memandangkan semakin ramai yang bertanya tentang situasi rumah tangga saya. Setelah berbincang dengan anak-anak kerana situasi ini melibatkan kehidupan mereka juga, tujuan saya memberi kenyataan pada hari ini kerana untuk mengelakkan sebarang tanda tanya dan salah faham yang boleh menimbulkan fitnah,” katanya.
Ruhil akur sebagai anak seni untuk berkongsi perihal peribadinya kepada umum namun enggan berkongsi lanjut punca perceraian.
“Punca perceraian tidak perlu saya nyatakan di sini. Kalau boleh cukuplah sekadar famili, teman rapat dan mereka yang tahu, tahu puncanya. Perkara ini sudah lama berlalu. Sudah takdir, setakat itu saja jodoh kami. Saya dan anak-anak reda dengan percaturan Allah SWT.
“Alhamdulillah, berkat doa dan sokongan famili dan teman rapat, saya dan anak-anak dapat menyesuaikan diri, meneruskan kehidupan dan bahagia dengan fasa kehidupan kami yang baru. Saya juga sangat bersyukur kerana dianugerahkan oleh Allah SWT anak-anak yang baik, kuat dan matang dari usia mereka.
“Di sini juga saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan pada teman media yang saya hormati kerana memberi ruang buat saya dan anak-anak, memahami perasaan dan tujuan saya untuk melindungi Ariana dan Raayan.
“Malah teman media juga tidak menulis atau memaklumkan di ruang media masing-masing, walaupun sudah bertahun-tahun sebenarnya mereka maklum tentang perceraian ini,” katanya lagi.
Ruhil berkahwin dengan Jamil juga seorang pemuzik pada 2003 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Ruhil Ariana Wilson, 19 dan Raayan Alexander Wilson, 12 tahun.