Selepas Pas, Bersatu pula nyatakan sokongan terhadap kepimpinan Umno Johor dan Perak

Selepas Pas, Bersatu pula nyatakan sokongan terhadap kepimpinan Umno Johor dan Perak

Bersatu Johor hari ini menyatakan pendirian terus kekal menyokong kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) Johor, yang dipimpin Umno susulan pengumuman peletakan jawatan Muhyiddin Yassin dan jemaah menterinya.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Bersatu Johor Dr Sahruddin Jamal berkata sokongan itu kekal meliputi kesemua 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu.

“Setakat ini, insya-Allah kekal. Bersatu Johor masih menyokong kerajaan negeri Johor sehinggalah ada arahan selanjutnya dari pucuk pimpinan parti,” kata ADUN Bukit Kepong secara ringkas ketika dihubungi menerusi Whatsapp, di sini, hari ini.

Umno Johor memimpin kerajaan negeri dengan 14 kerusi, diikuti Bersatu 12 kerusi termasuk DUN Gambir yang disandang Muhyiddin, MIC (dua) dan PAS (satu) manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi, Amanah (enam) dan PKR (tujuh).

“Ya, saya menyokong penuh dengan kuat terhadap Yang Amat Berhormat Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar, kerana beliau merupakan seorang menteri besar yang kompeten dalam menjalankan tugasnya,” kata Sahruddin.

Terdahulu, Sahruddin yang juga Setiausaha PN Johor dalam satu kenyataan berkata, desakan pihak-pihak tertentu agar perdana menteri meletakkan jawatan pada kadar segera ketika negara sedang diuji dengan pandemik Covid-19, bukanlah satu penyelesaian.

Di Ipoh, Bersatu Perak turut menyatakan sokongannya kepada kerajaan PN negeri yang diketuai Umno, meskipun Muhyiddin telah meletakkan jawatannya beserta seluruh jemaah menteri di peringkat persekutuan.

Ketua Penerangan Bersatu Perak Kader Maiden Hussin berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan lanjut untuk membincangkan perkembangan terbaharu ini bersama kepimpinan parti negeri.

“Kita menyokong penuh kerajaan negeri buat masa ini, bagaimanapun ia turut berpandu kepada keputusan pucuk pimpinan Bersatu di pusat.

“Saya juga akan adakan pertemuan dengan Pengerusi Bersatu Negeri yang juga Timbalan Presiden Parti Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, untuk mendapatkan perincian lanjut berkenaan perkara ini dalam masa terdekat,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Pada Disember lepas, kerajaan negeri Perak dibentuk dengan 34 kerusi atas gabungan tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN) dengan 26 kerusi, diikuti Bersatu (enam) dan Pas (tiga) diterajui Saarani Mohamad sebagai menteri besar.

DUN Perak mempunyai 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah. Berdasarkan jumlah semasa, UMNO memiliki 26 kerusi dalam DUN Perak, diikuti DAP (15), Amanah (5), Bersatu (enam), PAS (tiga), PKR (tiga) dan bebas (satu).

Sumber – FMT