Selepas Peja, Wee Ka Siong juga nafi MCA terlibat gerakan gulingkan kerajaan Anwar

Selepas Peja, Wee Ka Siong juga nafi MCA terlibat gerakan gulingkan kerajaan Anwar

 

Presiden MCA Wee Ka Siong menafikan dakwaan bahawa ahli parlimen BN bekerjasama dengan PN merancang komplot baru untuk menggulingkan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Wee yang juga ahli parlimen Ayer Hitam itu berkata MCA tidak terbabit dalam sebarang percubaan menumbangkan pentadbiran negara hari ini.

“Mengarut dan tidak berasas. MCA tidak tahu dan tidak terlibat. Sesiapa sahaja boleh menulis mengikut citarasa masing-masing berpandukan khabar angin.

“Namun, bagi saya sendiri sebagai presiden MCA dan parti saya, kami tidak tahu tentang percubaan menggulingkan kerajaan sepertimana yang dilaporkan.

“Kami juga tidak akan menyokong langkah sedemikian yang memerlukan mana-mana ahli parlimen yang dipilih untuk ‘mengorbankan’ kerusi mereka untuk memaksa pilihan raya kecil diadakan,” tegasnya.

Kata Wee, keutamaan MCA adalah menyokong dasar dan strategi ke arah pemulihan ekonomi negara melalui kestabilan politik mengikut kehendak rakyat pada PRU15.

Dia berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa terdapat khabar angin mengenai percubaan PN untuk meyakinkan beberapa ahli parlimen BN supaya meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil (PRK).

Menurut laporan itu, sekiranya ahli parlimen BN terbabit menang, mereka akan dapat membentuk kerajaan baru – dengan bantuan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Seterusnya, kata laporan itu lagi dengan pembentukan kerajaan baru, maka Pengerusi PN Muhyiddin Yassin akan menjadi perdana menteri sekali lagi.

Laporan itu juga mendakwa bahawa perancang menjangkakan Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin akan membiayai plot tersebut kerana akaun bank Bersatu sudah dibekukan.

Anwar kini mendapat sokongan 148 ahli parlimen manakala PN mempunyai baki 74 ahli parlimen.

Bagi menjatuhkan Anwar, PN perlu mendapatkan sokongan setiap ahli parlimen Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, Muda, bebas dan sekurang-kurangnya tiga lagi ahli parlimen yang kini bersama BN.