Selepas Pemuda, Tok Mat pula serang Zafrul dalam isu 5G

Selepas Pemuda, Tok Mat pula serang Zafrul dalam isu 5G

Isu penganugerahan kontrak 5G bernilai lebih RM11 bilion kepada entiti tunggal milikan negara, Digital Nasional Berhad (DNB) terus menjadi panas.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin dalam jawapannya kepada Dewan Rakyat memaklumkan wakil kementeriannya tidak pernah dipanggil berbincang sewaktu Zafrul selaku Menteri Kewangan membuat keputusan mwnyerahkan kontrak tersebut kepada syarikat DNB.

Berpunca daripada jawapan Timbalan Menteri tersebut, Pemuda UMNO tampil meminta penjelasan tuntas daripada Menteri Kewangan, namun jawapan yang dipinta tidam dilayan Zafrul.

Terbaru, muncul pula seorang lagi pemimpin Umno cuba mempertikai kewajaran sistem monopoli syarikat milik kerajaan, Digital Nasional Berhad (DNB) terhadap pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, sehingga kini kerajaan gagal menjelaskan rasional menggunakan model sistem Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) yang akan dijual kepada syarikat telekomunikasi.

“Sehingga kini, kerajaan gagal menjelaskan rasional menggunakan model ini. Apa kewajaran penubuhan DNB ini sebenarnya? Jika ia lebih efektif, jelaskan bagaimana ia akan lebih efektif dalam pelaksanaan jaringan 5G tanpa persaingan.

“Perlukah kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan sehingga mewujudkan satu lagi syarikat berkepentingan kerajaan,” katanya dalam kenyataan yang turut dilaporkan oleh portal akhbar FMT.

Pada 10 Dis, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dalam catatan di media sosial menjelaskan, konsep berkenaan dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih, yang diterbitkan awal tahun ini.

Katanya, laporan itu mencadangkan supaya entiti tunggal dibentuk oleh sebuah konsortium 5G terdiri daripada syarikat telekomunikasi, berbanding menganugerahkan spektrum 5G secara individu.

Pada 1 Mac lalu, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan mengumumkan penubuhan DNB sebagai pengendali SWN 5G yang berasaskan model pemulihan kos, berteraskan penawaran dan bukannya berdasarkan model keuntungan maksimum.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau turut mempersoalkan kelestarian model bagi membiayai operasi DNB yang mana projek 5G itu dijangka menelan belanja sehingga RM20 bilion dalam tempoh 10 tahun pelaksanaannya.

“Apalagi bila DNB mengumumkan pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara menelan belanja sehingga RM20 Bilion selama 10 tahun dengan pendanaan melalui pinjaman bank dan penerbitan sukuk.

“Kenyataan yang mengatakan bahawa model pembiayaan yang dicadangkan tidak akan melibatkan jaminan kerajaan adalah janggal.”

“DNB adalah milik kerajaan. Pastinya sebarang risiko atas hutang dan keperluan kewangan operasinya akan secara langsung menjadi beban kerajaan,” katanya.

Tegas Mohamad, pemusatan kepada DNB sebagai penyedia akan menyebabkan risiko untuk “single point of failure” seperti yang berlaku pada rangkaian Starhub di Singapura, April lalu.

“Kerajaan pasti maklum bahawa model SWN terbukti gagal di negara seperti Mexico, Belarus, Rwanda, Kenya, Russia dan Afrika Selatan semasa implementasi rangkaian 4G.

“Keengganan negara-negara luar untuk mengikut model ini memberi petunjuk yang jelas berkenaan kelemahan model ini,” katanya.

Justeru, beliau berkata risiko yang diambil kerajaan memerlukan penjelasan yang konkrit kerana defisit keyakinan terhadap DNB dan model SWN nampaknya semakin jelas dan kerajaan mesti menanganinya.

DNB akan menjadi penerima tunggal spektrum 5G, terdiri daripada 700 megahertz (MHz), 3.5 gigahertz (GHz) dan 26/28GHz, bersama dengan lesen borong.