Selepas pengakuan AG, akhirnya laporan kehilangan USD6.94j dalam simpanan SPRM terbukti benar

Selepas pengakuan AG, akhirnya laporan kehilangan USD6.94j dalam simpanan SPRM terbukti benar

Jabatan Peguam Negara sedang meneliti kertas siasatan yang diserahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kehilangan wang didakwa diambil daripada USD6.94 juta dirampas daripada bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid.

Jabatan itu menerusi kenyataan berkata, kertas siasatan itu diterima Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara pada 28 Sept lalu.

“Bahagian ini akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh sebelum sebarang keputusan sama ada akan membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Nik Suhaimi Nik Sulaiman mengesahkan dengan FMT, siasatan itu juga berkaitan Hasanah dan tiga pegawai SPRM.

Minggu lalu, SPRM dilaporkan menahan tiga pegawainya untuk membantu siasatan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam kes membabitkan “seorang bekas ketua jabatan”.

Tiga pegawai itu direman enam hari dari 14 hingga 19 Sept lalu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Blog Edisi Siasat sebelum ini mendakwa polis “takut” menyiasat laporan terhadap tiga pegawai SPRM atas dakwaan mencuri barang kes.

Ia mendakwa Hasanah cuba menuntut semula wang tunai USD6 juta (RM25.1 juta) yang disita dari sebuah apartmen di Cyberjaya, selepas dia dilepas tanpa dibebaskan dalam kes pecah amanah jenayah terhadapnya April lalu.

Menurut blog itu, Hasanah mendakwa sebahagian wang berkenaan hilang dan digantikan wang palsu. Dia juga dilaporkan membuat laporan mengenai perkara itu.

Tiga suspek itu sebahagian daripada pasukan khas yang ditugaskan untuk menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan membabitkan Hasanah.