Selepas Ramasamy dan Dap, Asri tuduh portal Malaysiakini dan FMT cetuskan provokasi melampau

Selepas Ramasamy dan Dap, Asri tuduh portal Malaysiakini dan FMT cetuskan provokasi melampau

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, menyelar portal Free Malaysia Today (FMT) dan Malaysiakini (MK) atas dakwaan menyiarkan laporan “provokatif” berhubung pengislaman tiga anak bawah umur tanpa kebenaran ibu mereka, Loh Siew Hong, oleh jabatan agama negeri itu.

Bagaimanapun, Asri yang mesra dikenali Dr Maza, tidak memberi sebarang contoh khusus apa yang dimaksudkan sebagai laporan provokatif oleh FMT, dalam video “Mesej Dr Maza untuk portal MK, FMT dan juga parti politik tertentu”.

“Kita di Malaysia ini ada satu Malaysiakini, Free Malaysia Today, dua-dua ni kita tahulah siapa kepala mereka. Semua berita dia provokatif dan isu-isu yang sensitif. Dia tunjuk kanak-kanak yang tiga orang ini, kononnya macam-macam berita dia keluarlah.

“Berita macam-macam,…dia nak provoke, tapi dia bagi mesej untuk kita faham,” tambah beliau, tanpa menghurai tuduhan kononnya FMT menyiarkan laporan provokatif dan isu sensitif.

Pengislaman tiga anak Loh secara unilateral menjadi polemik kebangsaan dan dilaporkan secara meluas oleh semua media, termasuk FMT.

Sejak dua minggu lalu, FMT memuatkan pelbagai komen dan perkembangan kes tersebut. Ia termasuk beberapa kenyataan Asri sendiri, yang antara lain menjelaskan pengislaman itu dijalankan secara sah dan mengikut undang-undang Perlis.

Penjelasan Asri bahawa bapa kepada tiga beradik itu memberikan kebenaran untuk mereka menganut Islam dan mereka turut berbuat demikian secara sukarela, dilaporkan FMT.

Portal ini juga melaporkan kenyataan Mufti Perlis bahawa perkara pokok adalah memastikan akidah anak-anak Loh dipertahankan.

FMT turut melaporkan pandangan beberapa pihak termasuk parti politik mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 yang menetapkan kebenaran ibu dan bapa wajib untuk penukaran agama anak-anak bawah umur.

Pendirian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pemimpin parti politik, dan NGO berhubung keputusan mahkamah itu turut dilaporkan FMT.

Kami turut muatkan pendirian Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, berhubung isu Loh.

Dalam video itu, Asri menyelar pemimpin Islam parti politik yang, menurut beliau, bersekongkol dengan DAP dalam mempersoalkan pengislaman tiga adik beradik itu.

“Ini…parti politik kerana nak menyokong DAP, kerana parti dia itu telah mengkhadamkan diri kepada DAP, khabar tak patut bagi Islam budak-budak itu. Ada yang hantar (mesej) kepada saya, minta maaf, dan isytiharkan mereka bukan Islam.

“Patut orang Islam kata ‘biar mereka Islam’. (Tapi) orang Islam kata macam itu (isytihar mereka bukan Islam)…boleh bayangkan orang Islam kata macam itu? Kalau Ramasamy tak apa lah,” kata Asri merujuk kepada pemimpin DAP, P Ramasamy.

“Geng parti ini hanya muncul bila masa nak hentam Islam,” tambah beliau, tanpa menamakan parti yang dimaksudkan.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Amanah yang menjadi sekutu DAP dalam Pakatan Harapan menegaskan keperluan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dan undang-undang syariah negeri diselaraskan.

Dalam video berasingan, Asri sekali lagi menegaskan keutamaannya ialah memastikan anak-anak Loh terus mengamalkan Islam, jika itu pilihan mereka, dan beliau tidak akan tunduk kepada pihak yang mempunyai motif lain.

“Kita tak pernah halang anak dia nak pergi kepada ibu dia. Kita nak pastikan mereka boleh terus boleh beragama Islam jika Islamlah pilihan dia. Itu saja. Tetapi orang lain…berjuang bukan untuk mak dia dapat (anak-anak) dia. Tapi mereka berjuang supaya untuk mengeluarkan budak-budak ini daripada agama. Itu ‘target’ mereka,” kata beliau.

“Tanggungjawab orang Muslim adalah mempertahankan saudara Muslimnya. Ini tanggungjawab Islam,…memastikan orang yang mengucap dua kalimah syahadah dapat mengamalkan agamanya sebagai seorang Muslim apatah lagi ketika berada dalam negara orang Islam. Kalau budak-budak itu berdepan kepada tekanan, kita bimbang,” kata beliau.