Selepas sebulan bercerai, Diana dan Farid mahu rujuk semula

Selepas sebulan bercerai, Diana dan Farid mahu rujuk semula

 

Pasangan selebriti sensasi, Farid Kamil, 42, dan Diana Danielle, 32, sepakat kembali hidup bersama selepas lebih sebulan bercerai talak satu.

Menerusi program temubual Podcast Borak Sini Habis Sini yang dimuat naik di YouTube, Diana dan Farid mahu mengambil langkah perlahan-perlahan untuk memperbaiki kekurangan dan kesilapan demi anak-anak.

“Kami mahu mengambil langkah perlahan dan cuba mencari bagaimana boleh kembali dalam kehidupan. Apakah kebaikan dan risiko yang bakal dihadapi pada masa hadapan, jadi kami perlu buat keputusan segera.

“Sebagai wanita, saya rasa tiada siapa yang boleh mengambil tempat bapa kepada anak-anak, melainkan Farid. Lebih baik bersama orang yang saya tahu baik buruknya.

“Masa tempoh edah adalah momen, peluang untuk kami buat keputusan. Ia bukan perkara pelik sebab dalam al-Quran pun menyatakan ini adalah masanya untuk fikir sama ada mahu teruskan atau tidak,” katanya.

Diana sentiasa berharap ada sinar harapan dalam hubungannya bersama Farid dan bersyukur menemui jalan terbaik dalam memperbaiki hubungan.

“Dalam kehidupan, kita hanya mampu lihat setakat ini sahaja, tetapi Allah atur lain. Ketika melalui semua proses dalam mahkamah, saya sentiasa berdoa jika masih ada harapan untuk selamatkan hubungan dan akhirnya, Allah tunjukkanlah jalan.

“Jadi, saya sentiasa terbuka dalam membaiki hubungan, sama juga Farid.

“Kami masih dalam proses membaiki dan membina hubungan walaupun ada titik noktah kecil. Saya sudah kenal Farid selama 16 tahun.

“Selain menjadi bapa kepada anak-anak, Farid adalah kawan baik saya. Jadi, bukan senang untuk kami tutup buku dan ‘move on’,” ujarnya.

Tambah Diana, dia dan Farid mahu menjadi insan lebih baik dan sekiranya Allah atur jodoh lebih panjang, mereka akan mencubanya.

“Semuanya atas niat untuk keluarga. Kami sedar bila kehilangan seseorang, baru nampak nilai yang ada.

“Tanpa sedar kita menghargai seseorang dengan lebih baik. Itulah yang saya rasa terjadi kepada kami.

“Kami bukanlah insan yang jahat. Banyak benda yang kami boleh perbaiki,” katanya.

Apabila bertanya mengenai persepsi mahupun pandangan orang ramai terhadap keputusan mereka, Diana berkata, dia tidak peduli dengan apa yang mahu dilontarkan.

“Kalau risau dengan apa orang nak cakap, rasanya tak adil untuk kehidupan saya dikawal oleh kata-kata orang.

“Saya tak dapat apa-apa daripada apa yang orang cakap. Jadi, saya buat apa yang terbaik untuk keluarga dan kehidupan saya. Kalau tak mampu hadapi sesuatu, kami takkan buat keputusan.

“Saya seorang yang mengambil risiko dan terbuka sekiranya orang lain tidak bersetuju dengan saya. Kehidupan ini penuh dengan kejutan.

“Kami bukanlah bermain dengan perkahwinan, tetapi saya nampak kami sudah atasi beberapa isu utama dalam perkahwinan.

“Jadi, sebab itulah saya rasa ada jalan untuk kami perbaiki. Kalau masih sama sahaja, ia tidak akan berhasil,” katanya yang tidak berjumpa Farid sejak Mac lalu.

Ujar Diana, pada awalnya dia mahu berkawan dengan Farid demi kebaikan anak-anak, tetapi selepas melihat perubahannya, hatinya memutuskan untuk kembali bersama.

“Tiada pujukan, ia adalah perkara semula jadi yang terjadi antara kami. Kami berbincang bagaimana mahu teruskan dengan hidup berkeluarga, dua minggu lalu.

“Kami tak boleh elak berjumpa antara satu sama lain. Itu yang kami duduk dan bercakap mengenai beberapa isu dan daripada situ, kami sedar ada perubahan dalam diri.

“Saya tak salahkan sesiapa, saya juga tak sempurna. Nak kata 100 peratus salah Farid, tidak adil,” katanya.

Diana juga memaklumkan keputusan kembali bersama cukup menggembirakan dua cahaya matanya, Muhammad dan Nur Aurora memandangkan kembali kepada rutin harian kehidupan.

Perkongsian selama hampir 40 minit itu dimuat naik di laman YouTube sejak empat jam lalu dan kini sudah mencatat hampir 6,000 tontonan.

Sementara itu, Farid yang turut hadir pada program itu juga meluahkan rasa syukur atas hikmah diberikan di sebalik ujian dilaluinya.

“Saya rasa bersyukur dan anggap itu sebagai satu musibah yang mempunyai nikmat dan rahmat di sebalik apa yang berlaku.

“Perkara itu secara tak langsung membuatkan kami lebih matang dalam menjalani kehidupan.

“Bagi saya, walaupun satu musibah, ia sebenarnya kalau dilihat satu nikmat juga. Terima kasih kepada semua doa untuk kami,” katanya.

Pada 10 Ogos lalu, Diana dan Farid sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.