Selepas seorang polis mati tertembak, seorang lagi anggota polis ditemui mati tergantung

Selepas seorang polis mati tertembak, seorang lagi anggota polis ditemui mati tergantung

Seorang anggota polis marin sempat meraikan sambutan hari jadi anak dan bersahur bersama keluarga sebelum ditemui tergantung di rumahnya di Taman Pertama, Sandakan, pagi tadi.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa yang berpangkat lans koperal berusia 28 tahun, ditemuinya isterinya dalam keadaan tergantung di ruang tamu rumah mereka.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali berkata, siasatan awal mendapati, anggota berkenaan mempunyai rekod kerja yang baik dan tidak ada masalah dengan rakan sekerja termasuk pegawai atasannya.

“Difahamkan, anggota berkenaan turut menyambut hari lahir anaknya yang berusia tiga tahun malam tadi,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Hazani berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Mayat dibawa ke Hospital Duchess Of Kent untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – FMT