Selepas Sultan Perak tegur, MB kata cuba ubati luka

Selepas Sultan Perak tegur, MB kata cuba ubati luka

Menteri besar baru Perak Saarani Mohamad berkata akan berusaha “mengubati luka” antara parti-parti Perikatan Nasional (PN) di Perak.

“Apabila ketiga-tiga pimpinan tertinggi tandatangan persetujuan kerjasama, siap sedia satukan hati pemimpin ketiga-tiga parti ini, kita usaha untuk ubatkan luka jika ada,” katanya.

Adun Kota Tampan daripada Umno itu berkata ketika ditanya bagaimana dia hendak mengekalkan hubungan Umno, Bersatu dan PAS susulan kemelut kepimpinan negeri yang bermula minggu lepas.

Dia berkata demikian dalam sidang media di Dewan Jubli Kuala Kangsar selepas majlis angkat sumpah di Istana Iskandariah.

Umno bersama Adun Pakatan Harapan (PH) minggu lepas terlibat menjatuhkan menteri besar Ahmad Faizal Azumu (bawah) daripada Bersatu melalui undi percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

Selepas hampir seminggu rundingan, Perikatan Nasional (PN) akhirnya berjaya mengekalkan penguasaan di Perak selepas kesepakatan antara tiga pemimpin paling kanan dalam gabungan itu – Bersatu, Umno dan PH.

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Saarani menyeru semua pihak “kembali merapatkan saf” demi kesejahteraan Perak dan rakyat.

“Demi menjamin kestabilan negeri, saya menyeru semua pihak untuk sama-sama mara ke hadapan dengan meletakkan agenda pembelaan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Adun Kota Tampan itu mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perak ke-14 di depan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pagi tadi.

Belanjawan 2021 kekal

Sementara itu, Saarani berkata dia tidak akan mengubah kandungan Belanjawan 2021 negeri Perak yang dirancang ketika pentadbiran Faizal.

“Saya tidak fikir kita ada masa untuk teliti atau ubah apa-apa isi kandungan dalam buku belanjawan yang telah pun dibincang bersama exco lama, termasuk saya,” katanya dalam sidang media.

Pada 4 Disember lalu, belanjawan 2021 untuk negeri Perak ditangguhkan bagi memberi laluan kepada undi percaya terhadap menteri besar.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/554659