Selepas Tajuddin ditamatkan khidmat, netizen desak menteri tamatkan khidmat penyedia laman web daftar vaksin Covid-19 pula
Dalam kekecohan merebut slot pendaftaran vaksin AstraZeneca tengah hari ini, anda mungkin berfikir: “Apakah peluang saya untuk dapatkan slot?”
Sekiranya anda gagal, anda boleh menyalahkan reka bentuk dan paparan antaramuka yang dibina pembangun laman web pendaftaran vaksin itu.
Kurian Thomas, seorang ahli profesional IT selama lebih 25 tahun percaya sistem tersebut tidak dibina untuk menangani jutaan permintaan serentak.
Beliau berkata, laman web biasa tidak sama dengan laman pendaftaran, yang perlu berinteraksi dengan pelbagai laman web lain untuk menghantar dan menerima data.
“Ini semua bergantung kepada sistem apa yang perlu diintegrasinya. Keadaan yang ideal adalah jika semua sistem dan aplikasi MySejahtera berada pada platform sama,” katanya.
“Jika ada sistem berbeza, akan ada kebergantungan. Jika kebergantungan ini perlahan (reaksinya), dan laman web utama asyik mendapat permintaan serentak, ini adalah reka bentuk seni bina yang buruk.”
Deruan awal orang ramai untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin AstraZeneca membebankan laman web Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, menyebabkan pendaftaran tertunda selama setengah jam.
Apabila pendaftaran akhirnya dibuka, ramai yang kecewa kerana mereka tidak dapat menghantar pendaftaran dalam talian akibat sistem yang terbeban.
Pembangun laman web lain turut memberi pandangan mengenai pelbagai masalah teknikal yang dihadapi pengguna laman web tersebut hari ini.
Timothy Teoh, yang mempunyai pengalaman selama 13 tahun dalam bidang IT menurut profil LinkedIn, berkata terdapat pelbagai kegagalan, yang utama antaranya adalah ketiadaan maklum balas visual kepada pengguna apabila slot janji temu gagal dimuat.
Bagaimanapun, kata Teoh, kegagalan menyeluruh terletak pada “reka bentuk pangkalan data”, sambil menambah, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sepatutnya membahagikan data di laman web dengan lebih baik.
Memandangkan trafik di laman web tinggi semasa pusingan pendaftaran lalu, beliau berkata, pembahagian data sepatutnya dibuat mengikut pusat pemberian vaksin (PPV) per hari.
“Memecahkan data mengikut bahagian sukar jika anda tidak tahu bagaimana data tersebut perlu diakses – tapi itu bukan kesnya di sini,” katanya dalam catatan di LinkedIn.
“Kesediaan slot pada 22 Jun di UM tidak mempengaruhi kesediaan slot pada 22 Julai di Pulau Pinang.”
Katanya, pembahagian slot mengikut PPV mengedarkan permintaan dengan lebih sekata, dan mengurangkan bebanan trafik.
Ini turut dipersetujui seorang lagi pembangun laman web, Zul, yang memberitahu FMT, membahagikan pendaftaran mengikut negeri akan mengurangkan beban pelayan JKJAV.
“Saya fikir ini mungkin satu penyelesaian lebih baik memandangkan pelayan (JKJAV) tidak mampu menangani trafik,” katanya.
Lebih daripada sejuta slot habis ditempah dalam tempoh kira-kira sejam selepas pendaftaran dibuka tengah hari ini, disusuli rungutan pengguna di media sosial mengenai pelbagai masalah teknikal dihadapi di laman web JKJAV.
Selain tidak dapat melihat pilihan pusat vaksinasi walaupun selepas pengguna “refresh” semula laman web beberapa kali, mereka juga disekat daripada menghantar permohonan apabila beberapa kali mengisi maklumat.
Turut timbul aduan daripada pengguna yang berkata, mereka gagal memuat tarikh janji temu selepas memilih negeri masing-masing.
Antara aduan lain adalah pemohon tidak mendapat mesej pengesahan selepas mendaftar, menyebabkan tidak pasti sama ada pendaftaran telah berjaya.
Kritikan ini menyusul seruan agar syarikat yang terlibat dalam pembinaan laman web tersebut dikenal pasti.
Sebelum ini, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata peruntukan RM70 juta daripada RM5 bilion bagi program berkenaan adalah bagi menyelaras dan membangunkan sistem pengantara yang memudahkan proses pendaftaran penerima vaksin.
Beliau turut menjelaskan setiap peruntukan mengikut had siling ditetapkan Kementerian Kewangan.
Menyentuh tentang komen bahawa laman web pendaftaran vaksin tersebut menggunakan perkhidmatan sekuriti web Cloudflare versi percuma, Zul berkata, tidak mengejutkan pengguna menghadapi masalah ketika mendaftar kerana versi percuma tidak mampu menampung lebar jalur yang diperlukan bagi program pendaftaran besar-besaran seperti itu.
“Ada hadnya apabila menggunakan versi percuma, yang selalunya digunakan bagi membina laman web peribadi atau untuk projek-projek hobi.
“Sesiapa yang membina laman web tahu tentang ini, saya tidak tahu kenapa (JKJAV) gunakan versi percuma,” katanya.
Dalam bebenang berasingan di Twitter, pembangun laman web Ashvin Menon meminta CEO CloudFlare Matthew Prince untuk membantu JKJAV.
Prince membalas dengan berkata, beliau bersedia untuk membantu dan meminta JKJAV menghubunginya.
Menon kemudian mengetag JKJAV, Khairy dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan seterusnya. – FMT