Selepas terima tawaran 3 sekolah hebat, anak sulung Dr Sheikh Muszaphar akhirnya sambung belajar di Kolej Genius Permata Pintar

Selepas terima tawaran 3 sekolah hebat, anak sulung Dr Sheikh Muszaphar akhirnya sambung belajar di Kolej Genius Permata Pintar

 

Sophea Isabella, anak sulung pasangan terkenal Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan Datin Dr Halina Mohd Yunos baru-baru ini menerima tawaran tiga sekolah hebat di Malaysia sebagai destinasi pengajian peringkat menengah.

Sekolah yang menawarkan kemasukan kepadanya adalah Kolej Yayasan Saad, Kolej Tunku Kurshiah dan Kolej Genius Permata Pintar.

Akhirnya setelah beberapa hari, Dr. Sheikh Muszaphar berkongsi kepada umum mengenai pilihan anaknya.

“Apakah yang membuatkan sesebuah sekolah itu hebat? Gurunya, fasiliti, persekitaran, berpusatkan pelajar, kepimpinan berpendidikan, harapan tinggi sekolah, program yang ditawarkan atau rangkaian alumni yang kuat? Senarainya berterusan,

“Banyak sekolah hebat di luar sana. Setiap sekolah memiliki kelebihan sendiri, kecemerlangan prestasi dan sejarah terbukti,” ungkap angaksawan negara itu tentang sesebuah institusi persekolahan.

Menyifatkan pemilihan sekolah sebagai satu perkara yang penting, bapa kepada tujuh cahaya mata ini berkongsi lagi bahawa keputusan yang diambil adalah selepas mereka berfikir sedalam-dalamnya dan berbincang selain turut meminta petunjuk dari yang maha Esa.

“Selepas berfikir sedalamnya dan berbincang serta melakukan solat istikharah, kami memilih untuk ke Kolej Genius Permata Pintar.  Sebuah sekolah yang mencabar minda Bella. Bercampur dengan mereka yang cerdik akan mengeluarkan potensi terbaiknya.

“Memilih sekolah yang tepat sangat penting, tetapi pada penghujungnya terpulang kepada pelajar itu sendiri. Kami harap ini adalah keputusan yang tepat untuk bella.” Ujarnya mengakhiri perkongsian.