Selepas tiga tahun dikhianati, Tun M buat kejutan umum sedia bekerjasama dengan Muhyiddin

Selepas tiga tahun dikhianati, Tun M buat kejutan umum sedia bekerjasama dengan Muhyiddin

Selepas 3 tahun disingkir secara hina oleh Muhyiddin Yassin daripada Bersatu, parti yang diasaskannya, Tun Dr Mahathir Mohamad tampil membuat kejutan umum bersedia kembali bekerjasama dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Kenyataan terbaharu beliau itu sekali gus membayangkan kedua-dua bekas Perdana Menteri berkenaan berkemungkinan boleh kembali duduk semeja selepas bermusuhan selama lebih tiga tahun.

IKLAN

Lapor MalaysiaNow, Tun Mahathir berkata, usaha untuk memperjuangkan nasib orang Melayu perlu dijadikan antara matlamat utama selain menolak individu yang terpalit dengan isu rasuah atau salah laku jenayah.

Tambah Tun Mahathir, masyarakat Melayu yang berpecah mengikut politik kepartian mengakibatkan parti politik Melayu sukar untuk memperbetulkan sebarang keadaan.

“Kita hendak adakan kerjasama, tetapi matlamat mesti ditentukan. Kita (Melayu) berpecah jadi banyak parti, kita hilang kuasa.

“Bila hilang kuasa, kita tidak boleh betulkan keadaan yang merugikan orang Melayu. Sebab itu kita perlu bersatu,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama MalaysiaNow di Putrajaya pada Rabu.

Parti Bersatu pimpinan Muhyiddin ditubuhkan pada 2016 selepas beliau dan beberapa pemimpin UMNO dipecat daripada parti itu selepas secara terbuka mengkritik isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penubuhan Bersatu dilakukan bersama Tun Mahathir yang dilantik sebagai Pengerusi sebelum parti itu menyertai gabungan politik Pakatan Harapan (PH) yang akhirnya berjaya menumpaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Dua tahun kemudian, Tun Mahathir bagaimanapun dipecat daripada Bersatu selepas berlaku perubahan kerajaan menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan kerajaan PH tumbang dan digantikan dengan kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin.