Selepas Zahid, giliran Rosmah pula minta passportnya dikembalikan

Selepas Zahid, giliran Rosmah pula minta passportnya dikembalikan

Mahkamah Tinggi menetapkan Jumaat bagi permohonan Rosmah Mansor untuk pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Singapura.

Dalam permohonan difailkan semalam, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak yang menghadapi tuduhan rasuah berkait projek panel solar sekolah di Sarawak, berkata beliau mahu menemani anaknya Nooryana Najwa yang bakal melahirkan anak kedua tidak lama lagi.

Rosmah berkata, beliau merancang perjalanan dari hujung Oktober hingga awal Disember, dan mengharapkan kerjasama polis serta Jabatan Imigresen.

Nooryana dan suaminya, rakyat Kazakhstan Daniyar Kessikbayev, kini menetap di Singapura.

Dalam permohonan dilihat FMT itu, Rosmah berkata beliau mahu menemani anaknya untuk memberikan sokongan mental dan emosi.

“Nooryana mempunyai sejarah mengalami komplikasi ketika bersalin,” katanya.

Ketika dihubungi, peguamnya Akberdin Abdul Kader berkata, pihak pendakwaan telah diserahkan dokumen berkaitan, hari ini.

Pasport Rosmah diserahkan sebagai syarat jaminan selepas beliau didakwa di mahkamah pada 2019.

Rosmah yang diarahkan membela diri akan menyambung keterangannya di mahkamah pada 21 Okt.

Beliau dituduh meminta RM187.5 juta daripada kontraktor Saidi Abang Samsudin serta menerima RM6.5 juta daripadanya.

Wang itu didakwa untuk membantu memastikan syarikat Saidi, Jepak Holdings Sdn Bhd, mendapat projek bernilai RM1.25 bilion itu.

Sumber – FMT