“Selesaikan segera isu sekolah dhaif…”, amaran PM terhadap Menteri Pendidikan

“Selesaikan segera isu sekolah dhaif…”, amaran PM terhadap Menteri Pendidikan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata tumpuan kerajaan ketika ini ialah untuk segera menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh Malaysia demi kebajikan anak-anak selain meningkatkan mutu pendidikan negara.

Memetik Sinar Harian, beliau berkata pendekatan Kerajaan Perpaduan pimpinannya adalah untuk memastikan semua sekolah di bawah tanggungjawab kerajaan akan diperbaiki bermula dengan Belanjawan 2023 yang akan dibentang pada 24 Februari ini.

Pada majlis hi-tea bersama pemimpin kuil di Seri Perdana di sini, Anwar berkata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah diarah menyenaraikan sekolah daif yang perlu diperbaiki.

“Tumpuan kita tentu perbaiki mutu (pendidikan) dan menyelesaikan (isu sekolah daif) supaya jangan ada rakyat, baik orang Penan dan Dayak di pedalaman Sarawak, India di Ijok, Melayu di Manek Urai, termasuk kategori miskin.

“Jadi, saya beritahu menteri mana sahaja sekolah daif harus disenaraikan tanpa kira jenis sekolah, tanpa kira jenis daerah, tanpa kira siapa pelajarnya. Tanggungjawab kita mulai tahun ini, akan pastikan tumpuan khusus untuk perbaiki semua sekolah daif dalam negara,” Anwar

Anwar juga berkata, tiada masalah untuk mempertahan bahasa ibunda namun kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan harus dikuasai dengan baik dalam kalangan semua rakyat kerana ia mencerminkan kesepakatan serta perpaduan.

“Kedudukan Bahasa Melayu itu (adalah sebagai) bahasa rasmi, bahasa kebangsaan maka penguasaannya harus baik dalam kalangan semua rakyat, yang itu saya tidak marah langsung.

“Kalau ada sekolah aliran Cina, Tamil atau swasta, Malaysia nyatakan nak kurang beri tumpuan kepada bahasa kebangsaan, saya tidak akan izinkan,” katanya.