Semua ADUN diperuntukkan tambahan RM50,000 bantu perangi Covid-19 – MB Johor

Johor bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan RM50,000 kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usaha membantu kerajaan negeri bagi program advokasi serta penyaluran maklumat tepat dan sahih menangani Covid-19, kata Menteri Besar Hasni Mohammad.
Beliau berkata, menerusi perbincangan bersama semua wakil rakyat Johor hari ini, semua sepakat dan menyokong cadangan kerajaan negeri untuk memperkasakan peranan Pegawai Daerah, Pentadbir Tanah Daerah dan Yang Dipertua Majlis Daerah dalam usaha menangani Covid-19, khususnya dalam aspek penguatkuasaan.
“Saya menyeru semua wakil rakyat menggandakan keupayaan dan inisiatif bagi memerangi Covid-19 di kawasan masing-masing demi kebaikan rakyat, tatkala mereka sedang mengharapkan bantuan dan pembelaan,” katanya dalam kenyataan.
Hasni berkata, Johor lebih awal berusaha untuk mendapatkan bekalan vaksin bawah inisiatif ImmuPlan Johor bagi mendapat bekalan vaksin tambahan sebanyak 100,000 dos yang dikhususkan kepada barisan hadapan dalam sektor ekonomi di negeri itu.
“Sehingga 26 Mei, sebanyak 85,849 permohonan telah diterima dan daripada jumlah itu 72,180 memenuhi kriteria untuk dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan ekonomi negeri Johor.
“Diakui mengurus pandemik ini adalah satu cabaran yang besar dan pandangan serta penglibatan semua pihak termasuk daripada semua wakil rakyat amat dialu-alukan dalam memastikan kemakmuran negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, dalam perbincangan itu semua wakil rakyat menyuarakan pandangan dan memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri dalam memimpin pelbagai usaha menangani pandemik Covid-19.
“Perbincangan dan komitmen yang ditampilkan oleh semua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) turut membuktikan penzahiran politik ‘Cara Johor’ yang amat mementingkan muafakat bagi memastikan konsensus rentas parti politik dapat diarusperdanakan dalam mendepani pandemik ini,” katanya.
Katanya, Johor sedang merancang untuk pemberian pakej rangsangan ekonomi 3.0. selain turut memperuntukkan RM10 juta bagi pemberian bakul makanan. – FMT