Semua pimpinan termasuk Anwar, Mat Sabu dan Lim Guan Eng tidak boleh bawa agenda peribadi

Semua pimpinan termasuk Anwar, Mat Sabu dan Lim Guan Eng tidak boleh bawa agenda peribadi

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata syarat tidak boleh bawa agenda peribadi untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan – yang pengerusinya, Anwar Ibrahim letakkan bagi Dr Mahathir Mohamad – patut dikenakan pada presiden PKR itu juga.

Katanya, syarat itu perlu jadi asas kepada Pakatan Harapan “dan juga gabungan besar yang akan terbentuk nanti”.

“Mana-mana pemimpin dalam gabungan tidak boleh bawa agenda peribadi, termasuk sama ada Anwar, Mohamad Sabu (presiden Amanah), dan Lim Guan Eng (setiausaha agung DAP),” katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Anwar kepada pemberita semalam.

Anwar menyerahkan soal kerjasama dengan Mahathir kepada PH namun bekas perdana menteri itu – yang peletakan jawatannya membawa kepada tumbangnya kerajaan gabungan itu – perlu “patuh kepada prinsip”.

Sejak kejatuhan kerajaan PH pada Februari, penyokong Anwar dan Mahathir saling menuduh atas kegagalan mempertahankan Putrajaya.

Mahathir, yang keluar PH untuk menubuhkan Pejuang, terus mengkritik Anwar sebagai tidak sesuai untuk memimpin negara, sementara penyokong presiden PKR itu pula menyalahkan Mahathir tidak berpegang pada janji.

Amanah, dan sekutunya DAP, yang dilihat masih mahu menjalin kerjasama dengan Mahathir, mencadangkan Presiden Warisan, Shafie Apdal, sebagai calon perdana menteri alternatif bagi memecahkan kebuntuan dalam kalangan pembangkang – cadangan yang segera dipersetujui Mahathir.

Mahfuz tidak nampak adanya agenda peribadi dibawa Mahathir semasa 22 bulan PH mentadbir kerajaan, mengambil contoh usaha memerangi rasuah seperti dalam kes membabitkan 1MDB, dan mewujudkan kertas putih Felda.

Beliau berkata, “kalau ada” kelemahan dan ‘kebobrokan’ semasa pentadbiran PH, tidak boleh bebankan tanggungjawab hanya pada Mahathir.

“Kebetulan timbalan perdana menteri ketika itu adalah isteri kepada Anwar,” katanya.

“Serta, ada juga menteri-menteri dari PKR yang terlibat sebagai anggota Jemaah Menteri, jadi itu tanggungjawab bersama.”

Dalam pada itu, Mahfuz melihat keterbukaan Anwar bekerjasama dengan Mahathir petanda baik dalam usaha membentuk gabungan pembangkang yang kuat.

“Saya percaya Anwar dan pemimpin-pemimpin lain sudah melihat tidak ada strategi politik yang benar-benar berkesan melainkan satu gabungan yang kuat untuk menghadapi Perikatan Nasional,” katanya.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/30/semua-termasuk-anwar-tak-boleh-bawa-agenda-peribadi-kata-mahfuz/?fbclid=IwAR23uyqPLpwjobkxjepcKpetz4_YPaVtW1rARKwShwwwRRKZ2ilOVX51DIQ