Semua wakil rakyat dilarang ceramah di masjid, surau di Perak walaupun ada tauliah

Semua wakil rakyat dilarang ceramah di masjid, surau di Perak walaupun ada tauliah

 

Larangan wakil rakyat berceramah di masjid dan surau di Perak walaupun mempunyai tauliah sebelum ini bertujuan mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Perpecahan yang berlaku lazimnya pula akan membawa kepada kerosakan.

Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wah Teh berkata, kehidupan atau nyawa parti politik menekankan kepada perbezaan untuk menghadapi pilihan raya.

Bagaimanapun, kata beliau, sebaik proses pilihan raya selesai, semua pihak harus kembali kepada asal-usul sebagai umat Islam dengan bersatu padu.

“Jadi wadah yang paling sesuai sekali untuk bersatu padu, untuk melupakan perbezaan-perbezaan itu ialah masjid dan surau kerana menurut Ahli Sunnah Waljamaah, Waliulamri ataupun Sultan itu adalah merupakan tunggak kepada perpaduan, persatuan ummah,” kata Wan Zahidi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Liq Fikri bersama Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Datuk Nooh Gadot dan Mufti Perak di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini, pada Jumaat.

Program dipengerusikan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford & Ahli Lembaga Pengarah USAS, Datuk Afifi Al-Akiti.

Menurut Wan Zahidi, larangan itu bukan sahaja terpakai ke atas wakil rakyat pembangkang, malah turut terpakai kepada wakil rakyat kerajaan.

Jelasnya, larangan itu berkuatkuasa di semua masjid dan surau yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau wakil rakyat yang mempunyai tauliah daripada JAIPk dilarang memberi ceramah di masjid dan surau di seluruh negeri itu.

Penegasan itu dikeluarkan ekoran garis panduan dalam pekeliling yang dikeluarkan JAIPk selaras dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai larangan terhadap orang politik.